Skip to main content
Berita TempatanHomeMelaka

Tuah Berbadan Dua, Normariana Dinobat Johan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Melaka

By 22 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto M Zakry Chan/Fariza Farnoh

MASJID TANAH, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Normariana Ab Rahman, 36, dinobatkan sebagai johan pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Melaka 2019 yang berlangsung di Auditorium Ibn Khaldun, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) baru-baru ini.

Normariana menewaskan lapan peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM1,500 trofi dan sijil penyertaan sekali gus akan mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di negeri Kedah.

Menurutnya, “pengorbanan menyertai pertandingan ini amat besar lebih-lebih lagi kini saya berbadan dua, sakit pening dan daya ingatan berkurangan ketika mengandung namun dengan kecekalan itu akhirnya saya berjaya.

“Kesemua peserta hari ini sememangnya hebat dan saya tidak sangka dengan kejayaan ini selain ia adalah tanggungjawab penting mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan yang sudah pasti cabarannya lebih besar.

Normariana, Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Melaka 2019.

Normariana, Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Melaka 2019.

“Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Penerangan Melaka yang telah memberi sokongan terbaik kepada para peserta dan pertandingan ini amat penting dalam meningkatkan pengetahuan anak muda berkaitan semangat patriotik, dasar kerajaan dan menambah keyakinan diri,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim, berkata kejayaan Jabatan Penerangan menganjurkan pertandingan pidato kenegaraan membuktikan kesungguhan jabatan mengalakkan serta mencungkil bakat berpidato dalam kalangan masyarakat.

“Melalui pertandingan ini sudah tentu dapat menanam keyakinan dan jati diri yang tinggi serta kepetahan berpidato, apatah lagi dengan tajuk pidato bertemakan kenegaraan, isu-isu semasa dan dasar-dasar kerajaan.

“Adalah menjadi harapan kita semua, rakyat Malaysia terutama golongan belia dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah negara yang kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan mempertahankan kedaulatan negara,” ujar Rizal.

Dalam pada itu, Murni Annisa Izzatul Mohd Zailani dinobatkan sebagi naib juara pertandingan dan tempat ketiga, Jameah Mohd Salleh yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1000 dan RM500, trofi dan sijil penyertaan.

EM

Tinggalkan komen anda