
Laporan/foto : Wan Arif Fadhila Bin Wan Yusof(Tanah Merah)
TANAH MERAH, 9 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Wayang Pacak’ atau pertunjukan wayang gambar ‘public relations’ amat sinonim dengan Jabatan Penerangan sejak berdekad lamanya.
Pada era pengisian kemerdekaan dan pembangunan negara, wayang pacak merupakan platform penting kepada kerajaan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat secara berhibur, khususnya bagi kawasan luar bandar dan pedalaman yang tiada kemudahan elektrik serta televisyen.
Peredaran masa dan teknologi serta kemudahan internet di seluruh ceruk rantau negara, telah meminggirkan peranan wayang pacak sebagai mekanisme kempen kerajaan dan platform hiburan.
Namun, inisiatif kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Blok Ulu Kusial, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah ternyata, sebahagian besar masyarakat masih merindui pertunjukan wayang pacak, manakala golongan muda pula terhibur dengan konsep ini.
Pertunjukan wayang pacak itu telah diadakan di sebelah malam pada 5 April 2019 di Dewan KOSPEN Kampung Ulu Kusial.
Pertunjukan ini pada mulanya dipersetujui untuk diadakan di padang sekolah, namun disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan berikutan hujan yang sering turun di sebelah malam, ianya dipindahkan ke dalam dewan.
Biar pun bertukar lokasi namun kehadiran penduduk kampung amat memberangsangkan, khususnya golongan dewasa.
Haji Alwes , 40, Setiausaha KRT ketika ditemubual berkata penduduk kampung menyampaikan hasrat untuk mengimbau nostalgia lama semasa era wayang pacak dan beliau terus berhubung dengan Pejabat Penerangan Daerah meminta perkhidmatan ini.
“Kenangan tengok wayang gambar bersama keluarga beralaskan surat khabar memang amat menyeronokan,” katanya mengakhiri temu bual.
Inspektor Abu Sufian Abu Naim, 35, Pegawai Siasatan Jenayah Tanah Merah ketika ditemui berkata program wayang pacak ini begitu baik dan berkesan kepada masyarakat kampung kerana, di samping berhibur dengan menyaksikan tayangan gambar mereka juga mendapat maklumat berguna daripada agensi kerajaan.
“Selain daripada itu juga penduduk kampung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka,” katanya.
“Sambutan dan kehadiran ramai penduduk tempatan pelbagai peringkat menunjukan program wayang pacak ini masih diterima oleh orang ramai,” ujarnya.
Gabungan strategik agensi kerajaan dan NG0 ini dilihat dapat meningkatkan keberkesanan program wayang pacak dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.