Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahang

2,000 Orang Asli Dirai Pemangku Raja Pahang

By 5 Mei 2019Mei 17th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Pai Syahira / Sh. Nurul

ROMPIN 5 Mei (Malaysiaaktif) – Lebih dari 2000 masyarakat orang Asli sekitar Muadzam Shah teruja menerima kunjungan dan menyaksikan kemunculan pertama Pemangku Raja Pahang yang berlangsung di Padang Awam Bukit Serok dan Kota Bahagia di Muadzam Shah, Jumaat lalu.

KDYMM Tengku Hassanal mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf.

KDYMM Tengku Hassanal mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tenku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut dengan penuh meriah dan tradisi kaum orang Asli oleh masyarakat dan pemimpin setempat seawal pagi.

Difahamkan seramai 4436 penduduk orang Asli di sekitar Rompin dan 90% adalah terdiri daripada suku Jakun dan 10% pula suku masyarakat Semai.

Dalam titah, baginda mengharapkan masyarakat orang Asli meningkatkan tahap akademik dan pembangunan kemahiran serta kerjaya masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bidang pendidikan.

Baginda turut menyertai sukan rakyat di Sekolah Kebangsaan Ladang.

Baginda turut menyertai sukan rakyat di Sekolah Kebangsaan Ladang.

“Mereka hendaklah tampil ke hadapan berperanan sebagai model dan pemangkin, memberikan inspirasi kepada anak-anak orang Asli agar potensi lebih ramai anak orang Asli dapat bergerak ke hadapan.”

Selain itu, baginda menyeru masyarakat orang Asli yang telah berjaya supaya memberi inspirasi kepada komuniti orang Asli yang lain untuk mencapai kejayaan dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan semata-mata.

Baginda juga menitahkan kepada rakyat supaya bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun terdapat fahaman politik berbeza bagi menjamin kesejahteraan bersama.

“Saya mengambil kesempatan ini menyeru penduduk dan masyarakat di daerah Rompin ini supaya sentiasa hidup bersatu-padu dan janganlah berbalah-balahan sehingga menyebabkan perpecahan sesama kita.”

Dalam pada itu, terpamer kesantunan dan peribadi akhlak baginda apabila menutup titah baginda dengan pesanan, “Saya harap tuan-tuan dan puan-puan jangan malu dengan saya sebab saya ingin mendekati semua pakcik, makcik, abang, kakak sekalian.”

Kanak-kanak teruja menerima kehadiran Tuanku mencemar duli datang menyantuni dan beramah mesra ketika melihat mereka makan jauh di bawah pokok.

Kanak-kanak teruja menerima kehadiran Tuanku mencemar duli datang menyantuni dan beramah mesra ketika melihat mereka makan jauh di bawah pokok.

Rata-rata penduduk juga dikejutkan apabila kerabat diraja tersebut bangun daripada meja santapan dan menuju serta menyapa kanak-kanak yang makan jauh di bawah pokok.

Pada majlis tersebut, baginda bekenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 200 golongan asnaf dan beramah mesra bersama kanak-kanak.

Baginda turut berangkat ke Program Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Ladang, Kota Bahagia dan tahlil bersama jemaah di Masjid Al-Muadzam Shah.

 

-KN

Tinggalkan komen anda