Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

37 Sekolah Naik Taraf, Penjajaran Semula Gred

By 26 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto: A.Prabagaran (Klang)

KLANG, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 37 buah sekolah di seluruh negara terlibat dalam semua aliran sekolah dalam usaha membantu meningkatkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata perubahan tersebut juga bertujuan memastikan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan dapat dicapai.

“Daripada jumlah tersebut, ianya melibatkan lapan Sekolah Kebangsaan (SK), 24 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan lima buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Penjajaran Semula Gred Sekolah Rendah merupakan langkah segera daripada Kementerian Pendidikan Malaysia disebabkan faktor perubahan turun-naik enrolmen murid yang besar di sekolah rendah.

“Keutamaan adalah sekolah-sekolah daripada kategori sekolah kurang murid (SKM) yang telah mengalami peningkatan enrolmen murid melebihi 150 orang sehingga 1000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Guru SJKC Wu Teck, Bandar Parklands di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizan Zaman Huri.

Justeru, menurut Nie Ching, penjajaran tersebut akan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan serta meningkatkan motivasi sekolah dalam memberikan penyampaian perkhidmatan.

“Kesannya akan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan serta meningkatkan motivasi sekolah dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada anak murid di sekolah.

“Saya juga umumkan SJKC Wu Teck telah dinaik taraf dari SKM menjadi Sekolah Gred B pada bulan April selepas penjajaran semula Gred sekolah dibuat.

“Sehubungan itu, dua orang Guru Penolong Kanan (GPK) hakiki akan dilantik iaitu GPK Pentadbir dan GPK Kokurikulum,” katanya.

Sementara itu, Charles Santiago dalam ucapan aluannya mengucapkan penghargaan kepada KPM yang telah mengeluarkan SJKC Wu Teck daripada kategori SKM.

“Sekolah ini telah berusia 103 tahun merupakan antara sekolah yang paling tua di negara ini. Dahulu lokasinya di Tanjung Harapan, kemudian dipindahkan ke Bandar Parklands kerana kurang murid.

“Walaupun mempunyai bilangan 1,289 pelajar, ianya masih dikategorikan sebagai kurang pelajar. Kini sekolah ini akan mendapat manfaat dan bantuan seperti sekolah-sekolah lain,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda