Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Dua Maut, Tiga Cedera Struktur Bangunan Runtuh

By 26 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Dua orang pekerja tapak binaan maut selepas terperangkap dalam kejadian struktur bangunan Terminal Bas Bersepadu Gombak yang dalam pembinaan runtuh, di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pukul 1.13 pagi itu turut mengakibatkan tiga yang lain mengalami kecederaan setelah dihimpit runtuhan bangunan lima tingkat yang dijadikan penempatan pekerja binaan di tingkat bawah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata operasi mencari dan menyelamat kali pertama berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang cedera, dua warganegara Indonesia dan seorang warganegara Bangladesh.

“Namun selepas jam 9.30 pagi, pihak polis menerima maklumat daripada pekerja di sini bahawa beliau gagal menghubungi rakannya setelah kali terakhir bertemu ketika minum kopi bersama malam tadi.

“Beliau juga nampak dua mangsa yang dipercayai suami isteri tersebut naik ke tingkat atas bangunan menggunakan laluan parkir yang runtuh itu.

“Kami mengesyaki bahawa ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan siasatan talian telefon mangsa dikesan di kawasan runtuhan dan kami menghubungi Bomba untuk operasi mencari dan menyelamat kali kedua,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan, Nordin Pauzi berkata mangsa yang maut akibat terhimpit antara runtuhan konkrit dan besi-besi.

Keadaan laluan ke parkir bangunan Terminal Bas Bersepadu Gombak yang runtuh.

Keadaan laluan ke parkir bangunan Terminal Bas Bersepadu Gombak yang runtuh.

“Mangsa ditemui berhampiran yang terhimpit antara besi-besi dan runtuhan struktur sekitar jam 12.51 tengahari.

Namun proses mengeluarkan mayat agak sukar kerana terpaksa memotong besi-besi dan memecahkan konkrit yang menjadin rintangan,” katanya.

Nordin turut menjelaskan lokasi tiga mangsa yang cedera berada di bawah bangunan yang runtuh berjauhan dengan lokasi dua mangsa maut.

“Lokasi pasangan yang maut adalah berjauhan dengan lokasi tiga mangsa cedera ditemui, lebih kurang 50 meter.

“Lokasi pertama di terletak bawah bangunan yang tertimbus oleh konkrit yang besar manakala lokasi kedua adalah di atas laluan ke parkir.

“Operasi kedua bertumpu di kawasan laluan parkir kerana dipercayai mangsa menggunakan laluan tersebut ke tingkat atas,” katanya.

Tambah beliau, kelemahan struktur laluan ke parkir dipercayai berlaku runtuhan tersebut namun punca kejadian masih disiasat.

“Mayat pertama berjaya dikeluarkan jam 1.50 petang, dikenali sebagai Elias Kisa berusia 37 tahun, sementara mayat kedua dikeluarkan jam 2.12 petang. Kedua-dua mayat di bawa ke hospital untuk bedah siasat,” jelasnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda