Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

MB Mahu Permainan Tradisional Dipelihara

By 6 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Permainan tradisional yang suatu ketika dahulu menjadi budaya dalam masyarakat perlu dipelihara untuk generasi pada masa hadapan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata walaupun berlaku peredaran masa dan perkembangan teknologi yang pesat, ianya bukan alasan untuk meminggirkan permainan tradisional.

“Walaupun masa berganti dan generasi bertukar, permainan warisan seperti kabadi serta seni pertahanan diri silambam yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan dunia perlu diteruskan.

“Ini bagi memastikan tradisi masyarakat kita dapat dikekalkan khususnya dalam kalangan masyarakat India, selain memperkenalkan kepada generasi dan masyarakat lain yang tinggal di negara ini, khususnya Selangor,” katanya.

Permainan kabadi turut dipertandingan sempena sambutan Tahun Baharu Chittirai hari ini.

Permainan kabadi turut dipertandingan sempena sambutan Tahun Baharu Chittirai hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pertandingan Tradisional Masyarakat India sempena Tahun Baru Chittirai, di Padang Awam Batu Caves, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, Ahli Majlis Zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Deavandran Selvaraju dan wakil Pejabat Parlimen Gombak, Razali Ramli.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata pertandingan membabitkan komuniti India di kawasan itu menjadi medan terbaik mengukuhkan hubungan antara satu sama lain, sekali gus mengelakkan sentimen dan perbalahan antara kaum.

Katanya, Tahun Baru Chittirai yang disambut masyarakat India menjadi titik permulaan bagi menyuntik harapan baharu dalam kehidupan masing-masing.

“Sambutan yang dijalankan setiap tahun ini memberi peringatan bahawa dunia semakin bergerak pantas yang memerlukan persiapan rapi generasi masa hadapan untuk menggalas harapan baharu.

“Ia juga satu ingatan penting kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang baik, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin, ketua masyarakat dan ketua keluarga,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda