
Laporan/Foto : Wan Seman Wan Bedollah/Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil (Jeli)
JELI, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Mazira Mohd Zain, 28, membesarkan 3 anaknya yang masih kecil secara bersendirian setelah berpisah dengan suaminya 2 tahun lepas dan mendiami sebuah rumah di Kampung Sungai Rual Melayu yang serba kekurangan tanpa dapur dan ruang mandi yang selesa.
Kehidupan Mazira selama 2 tahun ini bertemankan anak-anaknya Siti Noraini Balqis, 7, pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan Jeli 1, Siti Fatihah Humairah, 5, Pra Sekolah dan Siti Norjannah, 2, Pusat PERMATA Negara, Jeli.
Beliau menyara anak-anak dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan. Di samping itu beliau juga menerima RM400 setahun daripada Majlis Agama Islam Kelantan dan Bantuan Sara Hidup (BSH) RM400 pada Februari lepas.

Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan RTM, Datuk Momamed Irwan Mansor sedang bergotong royong membina ruang dapur dan ruang mandi
Hari ini suasana kehidupan Mazira serta anak-anaknya bakal berubah dengan kunjungan Misi Ziarah Kasih daripada Angkasapuri yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan RTM, Datuk Mohamed Irwan Mansor.
Misi ziarah kasih ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh kariah Masjid Muhammadi Angkasapuri dan kru RTM Angkasapuri dengan dibantu oleh masyarakat setempat yang mengadakan gotong royong membina ruang dapur dan ruang mandi bagi keselesaan keluarga ini khususnya menjelang Ramadan.
“Masjid Muhammadi Angkasapuri menyalurkan sebanyak RM2,000 hasil daripada sumbangan orang ramai. Kos bagi menyiapkan ruang dapur dan ruang mandi rumah ini adalah sebanyak RM3,000 dan baki RM1,000 itu juga ditampung melalui sumbangan pelbagai pihak dari luar kariah Masjid Muhammadi,” jelas Mohamed Irwan semasa gotong royong tadi.
Di samping itu, keluarga Mazira juga menerima sumbangan berupa kipas angin, minyak masak, beras, gula, biskut dan barangan keperluan dapur sebagai persiapan menjelang puasa.
Dalam nada sedih, Mazira menyatakan dengan adanya ruang dapur dan ruang mandi yang baharu akan menceriakan kehidupannya sekeluarga.
Sebelum ini beliau memasak di ruang terbuka di tepi rumahnya dalam keadaan tidak selesa dan daif. Kini beliau boleh memasak dalam keadaan selesa dan selamat serta terjamin berbanding sebelum ini, ujarnya.
Beliau menzahirkan penghargaan terima kasih kepada rombongan Ziarah Kasih RTM dan penduduk kampung yang memberi sumbangan dan bertungkus lumus serta prihatin bagi menyediakan keceriaan kepada keluarganya.