Skip to main content
Berita Tempatan

Bakat e-Sukan Ahli Kelab Malaysiaku Dicungkil

By 3 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Sukan elektronik, e-Sukan atau lebih dikenali sebagai e-Sports merupakan sebuah industri baru bukan sahaja hanya kepada pembangunan permainan video tetapi ianya merupakan industri dan sumber ekonomi baru kepada para individu yang meminati permainan video secara interaktif.

Selaras dengan peredaran zaman, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, game seperti Dota, Mobile Legends, CS, FIFA, RoS dan banyak lagi mampu meningkatkan skil dan membuka peluang kepada pemain ke arah satu lagi bidang kerjaya.

“Bidang e-sukan bukan saja pada pemain tetapi kita juga boleh menghasilkan bakat dalam ekosistem game itu sendiri, contohnya pengaturcara komputer, pereka, pembangun dan banyak lagi.

Perlawanan akhir Kejohanan e-Sukan FIFA 2019.

Perlawanan akhir Kejohanan e-Sukan FIFA 2019.

“Oleh itu, kami berharap lebih banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan atau negeri, sekali gus dapat membuka mata ramai pihak dan memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda khususnya menjadi lebih berdaya saing dari sudut kompetitif.”

Sehubungan dengan itu, Pejabat Penerangan Daerah Segamat menyahut cabaran ini dengan kerjasama Kontena Gaming Segamat menganjurkan Kejohanan e-Sukan FIFA terbuka kepada ahli-ahli Kelab Malaysiaku melibatkan sembilan sekolah di daerah Segamat dengan 32 penyertaan.

Ikon Rakan Stategik PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) Daerah Segamat, Hashim Mohamad Kalang berkata pelajar-pelajar dididik untuk memberikan tumpuan dan ketekunan kepada tugas kerja melalui program e-sukan ini.

“Walaupun ada yang mengatakan ia membuang masa, tetapi dari segi kebaikan, ahli Kelab Malaysiaku dapat belajar dengan tekun, belajar konsentrasi dan memberikan kebaikan kepada mereka pada masa hadapan.

Pertandingan Kahoot! iaitu kuiz kenegaraan secara atas talian bagi peserta yang gagal ke 16 terbaik Kejohanan e-Sukan FIFA.

Pertandingan Kahoot! iaitu kuiz kenegaraan secara atas talian bagi peserta yang gagal ke 16 terbaik Kejohanan e-Sukan FIFA.

“Namun, harus kita ingat akademik juga sangat penting, kerana jika kita belajar Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), ia memerlukan banyak elemen fokus untuk berjaya dan kejayaan hari ini tidak hanya tertumpu kepada akademik tetapi berkaitan juga dengan program-program kokurikulum,” katanya, ujar Hashim semasa merasmikan Kejohanan e-Sukan FIFA 2019 dan Pertandingan Kahoot! Kelab Malaysiaku Daerah Segamat sempena Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Segamat, baru-baru ini.

Sementara itu, wakil Pegawai Penerangan daerah, Syed Mohd Adib Syed Hassan berkata, kejohanan e-Sukan ini yang julung kali diadakan merupakan inisiatif Pejabat Penerangan Daerah Segamat dalam mencungkil bakat sukan elektronik dalam kalangan ahli Kelab Malaysiaku di daerah Segamat.

“Kami cuba membawa sedikit kelainan dalam pelaksanaan aktiviti Kelab Malaysiaku di daerah Segamat dengan menganjurkan kejohanan ini kerana ia mendapat sambutan oleh generasi muda serta pencarian bakat yang berpotensi untuk cabaran yang lebih tinggi,” ujarnya.

Antara sekolah yang menyertai pertandingan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap; SMK Dato’ Bentara Dalam; SMK Bekok; SMK LKTP Pemanis; SMK Gemereh; SMK Tinggi Segamat, SMK Labis, SMK Dato’ Ahmad Arshad dan SMK Chaah.

Penyampaian hadiah kepada johan e-Sukan FIFA (dari kiri) Mohd Hanif Jamian (Kontena Segamat); Mohd Faizal Rasid (PPD Segamat); Hashim Mohamad Kalang; Adik Zaidi, Adik Asyraf, Cikgu Norshita (SMK Bekok) dan wakil Pejabat Penerangan, Syed Mohd Adib Syed Hassan.

Penyampaian hadiah kepada johan e-Sukan FIFA (dari kiri) Mohd Hanif Jamian (Kontena Segamat); Mohd Faizal Rasid (PPD Segamat); Hashim Mohamad Kalang; Zaidi, Asyraf, Cikgu Norshita (SMK Bekok) dan wakil Pejabat Penerangan, Syed Mohd Adib Syed Hassan.

Kejohanan e-Sukan FIFA kali ini dimenangi oleh peserta dari SMK Bekok, Zaidi Zainal Nordin; Naib Johan dari SMK Buloh Kasap, Muhammad Lutfi Mohd Ali dan tempat ketiga dari SMK LKTP Pemanis, Muhammad Azam Ismail.

Turut hadir, Penyelia Kokurikulum selaku wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Mohd Faizal Rasid dan Co-Founder Kontena Segamat, Mohd Hanif Jamian.

EM

Tinggalkan komen anda