
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Golongan belia diingatkan agar tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan sekiranya mereka tidak mahu terus bergelar penganggur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan atau swasta selain latihan kemahiran untuk golongan tersebut.
“Semua agensi dan pihak swasta yang menyertai karnival ini menyediakan pekerjaan dan memerlukan pekerja yang ramai. Malah mereka juga turut menyediakan latihan kemahiran.
‘Nasihat saya agar belia atau graduan tidak terlalu memilih kerja. Jangan terlalu memilih, mahu kerja yang berjawatan dan kerja pejabat sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan karnival ‘Jom Cari Kerja dan Masuk Universiti’ di Dewan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selayang, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Nasional menyatakan segala tohmahan pihak tertentu mengenai kerajaan Malaysia Baharu adalah meleset.
“Ini membuktikan tuduhan pihak tertentu bahawa sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui negara peluang pekerjaan sangat terbatas. Nyata tohmahan itu tidak benar.
“Banyak peluang pekerjaan ditawarkan majikan yang menyertai karnival ini, lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya.
Tambah Mohd Sany, beliau akan terus membantu para belia dan graduan untuk mencari pekerjaan dengan mengadakan karnival seumpama ini dua kali setahun.
Karnival sehari tersebut disertai 25 majikan dan 10 institut pengajian tinggi. Antara yang menyertai adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), 7Eleven, Sri Ternak Companies, Domino Sdn Bhd, AZ Talent Agency dan 99Speedmart.
-NAZ