
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Vicky Matanjang (Kota Kinabalu)
PITAS, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Kira-kira 20 ribu pengunjung hadir memeriahkan pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang julung kali diadakan di Dataran Bengkoka, semalam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata sambutan pesta itu penting untuk memelihara perpaduan masyarakat.
“Kita tidak mempunyai masa untuk bertarung antara satu sama lain kerana kita perlu bersama-sama berusaha membangunkan negeri.
“Kerajaan negeri bukan sahaja komited untuk melindungi hak Sabah, tetapi juga warisan budaya kita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan kuasa Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Peter Anthony berkata tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’.
“Menjadi tradisi kita untuk memulakan sambutan Kaamatan pada 1 Mei dan bagi tahun ini, rakan-rakan muslim kita juga akan mula berpuasa pada 5 Mei ini.
“Walaupun persiapan untuk kedua-dua perayaan dilakukan secara serentak, saya percaya tidak ada percanggahan kerana penduduk Sabah dikenali dengan toleransi dan menghormati kepercayaan masing-masing.
“Kita hidup harmoni bersama sebagai keluarga berbilang bangsa dan agama. Tema yang dipilih ini mencerminkan perpaduan kita,” katanya.
Perasmian pesta dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang turut mengetam padi sebagai simbolik pelancaran pesta berkenaan.
Pesta Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun oleh masyarakat pribumi Sabah untuk meraikan dan mengucapkan terima kasih kepada dewa-dewa dan semangat padi bagi kurniaan hasil tanaman padi.
Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Daniel Kinsik yang mewakili Huguan Siou (Pemimpin Utama) masyarakat Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.