
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)
TAMBUNAN, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Bintang bola sepak Sabah pada tahun 1990an, Paulus Jimit yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar, mendapat perhatian wanita nombor satu Sabah.
Paulus atau Mohd Ferdaus Abdullah, 57, dikunjungi isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar (YNJ) di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam Program Ziarah Ramadan Rumah Ke Rumah, pada Sabtu.
Pada kunjungan tersebut, selain kata semangat, Paulus bersama isteri, Sharifah Sudin serta empat anaknya turut menerima sumbangan YNJ berupa wang tunai dan barangan dapur yang disampaikan Toh Puan Norlidah.
Menurut anak ketiga Paulus, bapanya itu merupakan kakitangan JKR Daerah Tambunan dan mula diserang penyakit angin ahmar ketika dalam tugas pada tahun 2015.
“Serangan angin ahmar menyebabkan bapa saya menjalani pembedahan otak di sebelah kiri di mana tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan.
“Selepas enam bulan dan keadaanya juga stabil, barulah tempurung kepalanya dimasukkan semula tetapi pertuturannya menjadi tidak jelas,” ujar anaknya yang kini bekerja sebagai guru sandaran tidak terlatih di salah sebuah sekolah menengah di sini.
EM