Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala Lumpur

Bubur Lambuk Penyambung Ukhwah Mahasiswa dan Penduduk

By 11 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Ahmad Suhaimi Mokhtar (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan kerjasama mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UNiKL), Yayasan Ikhlas, Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Al-Khadijah Lembah Pantai meneruskan tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong untuk diedarkan kepada orang ramai pada Ramadan kali ini.

Penganjuran kali ini disertai 40 mahasiswa dengan bantuan Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Al-Khadijah, Pantai Dalam.

Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UniKL, Dr. Norsazali Abdullah dalam ucapan perasmian melahirkan rasa bangga dan bersyukur atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini.

“Saya berharap pihak Jabatan Penerangan WPKL dapat meneruskan program amal bersama masyarakat ini setiap tahun kerana memberi peluang kepada banyak pihak untuk turut bersama-sama masyarakat,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan kepada 30 orang kanak-kanak Asnaf Parlimen Lembah Pantai, di sini hari ini.

Para petugas gotong-royong dari Kelab Belia Anak Wilayah, Lembah Pantai tekun menyiapkan masakan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Para petugas gotong-royong dari Kelab Belia Anak Wilayah, Lembah Pantai tekun menyiapkan masakan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Al-Khadijah merangkap penyelaras program Ustaz Mohd Shahril Abdul Samat, program ini bukan sahaja menyaksikan keberadaan mahasiswa kepada masyarakat setempat bahkan juga memupuk sifat bersedekah.

“Program memasak bubur lambuk ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial warga masjid kepada masyarakat setempat sempena bulan yang mulia ini,” katanya.

Pegawai Operasi Yayasan Ikhlas, Muhammad Nur Farhan Abdul Jalil ketika ditemui pula berkata penganjuran program ini bukan sahaja mendekatkan pelajar kepada masyarakat malah dapat memberi pengalaman yang bermakna buat peserta.

Dianggarkan sebanyak 500 bekas bubur lambuk telah berjaya diedarkan dalam tempoh 30 minit, bermula seawal 5.00 petang tadi.

Dalam program ini juga, seramai 30 remaja dari Kelab Belia Anak Wilayah Lembah Pantai turut mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan masjid pada sebelah paginya sebagai tanda sokongan terhadap program ini.

-SH

Tinggalkan komen anda