Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Fasiliti Selesa Pendidikan Sentiasa di Titik Beratkan Oleh Kerajaan

By 23 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid/Rozali Isa (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Pembinaan sesebuah sekolah lazimnya mengambil kira populasi setempat bagi memastikan ianya dapat menampung keperluan masyarakat setempat.

Namun demikian bagi situasi tertentu, keperluan lain menjadi keutamaan dalam aspek tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat khususnya melibatkan kaum minoriti.

Dalam aspek pengurusan minoriti, kerajaan berusaha sebaiknya agar setiap komuniti mendapat hak dan keadilan yang setara lebih-lebih lagi dalam aspek pelajaran.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Pasir Gajah yang terletak di Ladang Pasir Gajah, Kuala Krai merupakan satu-satunya Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Kelantan. Sekolah ini telah dibina dengan sempurna dan lengkap dengan segala fasiliti dan infrastruktur.

Bangunan sekolah empat tingkat yang tersergam ini dihuni seramai 27 orang pelajar- pelajar kaum India.

Kewujudan sekolah ini adalah satu gambaran dan bukti keprihatinan serta kebertanggungjawaban Kerajaan Malaysia dalam menyediakan prasarana pendidikan tanpa diskriminasi kaum.

Hanya seorang guru melayu di sini

Hanya seorang guru melayu di sini

Jika dilihat pada saiz bangunan sekolah yang besar tentu ramai beranggapan bilangan pelajarnya ramai namun hakikatnya Kerajaan Malaysia sangat menitik beratkan soal pendidikan rakyatnya.

Ini kerana pendidikan sangat penting dan merupakan faktor utama dalam menentukan ketamadunan sesebuah negara bangsa.

Menurut Penolong Kanan Ko-Kurikulum sekolah berkenaan Subashimi A/P Satasilan, 29, sekolah ini telah lama dibina sejak tahun 1945 lagi dan sudah lebih lima tahun beliau berkhidmat di sekolah ini.

“Walaupun saya berasal dari Perak, namun belum merancang untuk pulang ke negeri kelahiran kerana suami juga berkhidmat di sekolah ini bersama-sama, dia berasal dari Negeri Sembilan dan telah berkhidmat di sini sudah lebih lapan tahun,” ujarnya.

“Dia sangat selesa mengajar di sini dan tertarik dengan suasana di Kelantan, lagipun tekanan mengajar di sekolah ini amat kurang kerana bilangan pelajar yang tidak ramai dan memudahkan kami para guru untuk mengawal dan memberi tumpuan kepada pelajar,” tambahnya lagi.

“Selain kemudahan bangunan yang besar dan selesa, pelajar di sekolah ini juga cukup bertuah kerana pengangkutan van sekolah turut disediakan secara percuma, gaji pemandu dan kos pengangkutan van ini ditanggung sepenuhnya oleh PIBG sekolah,” tambahnya lagi.

“Pada awal pagi van ini akan mengambil pelajar dari Kampung Pahi, Taman Perumahan Daskoh, Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh dan Ladang Pasir Gajah untuk di bawa ke sekolah.

Van ini juga akan menghantar pelajar-pelajar pulang setelah tamat sesi sekolah,” ujarnya mengakhiri temubual.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kala A/P Salambadurai, 29, tenaga pengajar di sini hanya sembilan orang, jumlah sebenar tenaga pengajar di SRJKT Pasir Gajah ini sepatutnya 11 orang, namun dua orang guru Melayu baru sahaja mendapat notis berpindah ke sekolah lain, sekarang ini hanya tinggal seorang guru Melayu sahaja di sekolah ini.

“Pada tahun ini tiga orang pelajar akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berbanding hanya seorang pelajar pada tahun 2018.

“Walaupun sekolah ini kekurangan pelajar namun kami baru sahaja dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Teater Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Bagi Sekolah-Sekolah Tamil 2019 yang telah berlangsung di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 Mei baru-baru ini. Manakala pada tahun 2018 pula kami telah memenangi Anugerah Juri Teater,” jelas Kala dengan senyum lebar yang berasal dari Kampung Kerilla, Tanah Merah, Kelantan.

Meskipun bilangan pelajar tidak ramai namun kerajaan tetap membina sekolah yang cukup dengan segala kemudahannya.

– NAZ

Tinggalkan komen anda