Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

MQR76 Potensi Sumber Pendapatan Baharu Penanam Padi KADA

By 23 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Nur Shafira Mat Hussin(Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 23 Mei (Malaysiaaktif) – “Kelantan melalui KADA telah menunjukkan bukti bahawa tanaman padi wangi ini berjaya membuahkan hasil malah ia juga berkualiti sebagaimana padi wangi keluaran negara jiran iaitu Thailand dan Vietnam,” jelas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Majlis Dialog dan Perasmian Tuaian Padi Che Siti Wan Kembang di Bendang Kampung Kolam Tembesu, Kedai Menanti, Selising petang semalam.

Menurut Salahuddin, padi wangi jenis MQR76 bakal dikomersialkan dan tidak mustahil untuk dikembangkan penanamannya ke seluruh negara.

Bau yang harum serta kualiti yang baik mampu menjana pendapatan lumayan kepada petani sekiranya tanaman menepati piawaian dan penilaian kualiti.

Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) akan memperluaskan lagi tanaman padi wangi ini sebagai satu sumber pendapatan petani.

Tinjauan ke bendang

Tinjauan ke bendang

MOA memandang serius tahap pendapatan para petani khususnya penanam padi yang rata-ratanya masih berada di dalam golongan B40. Hal ini berbeza pula dengan petani tanaman lain yang mampu mencapai pendapatan lumayan dan keluar dari kelompok tersebut.

Bagi merealisasikannya, tanaman padi wangi ini akan melibatkan sebahagian kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan dan Lembaga Kemajuan Pertanian (MADA) di Kedah yang bersesuaian serta berkemudahan dengan sistem pengairan.

Salahuddin berkata MOA mempunyai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di mana terdapat 600 orang sainstis pakar untuk melakukan kajian ke atas padi wangi yang bakal dikomersialkan agar ia bersesuaian dengan perbezaan keadaan jelapang di negara ini.

“KADA dan MADA adalah agensi yang bertanggungjawab untuk membantu para petani, oleh itu agensi ini akan mengeluarkan pelan komprehensif dan kajian segera dalam mengenal pasti kawasan yang sesuai dan berpotensi untuk tanaman padi wangi secara komersial,” jelasnya lagi semasa ditemubual media.

Contoh pek produk beras wangi

Contoh pek produk beras wangi

Salahuddin turut memaklumkan MOA juga bersetuju untuk memberikan subsidi kepada pengusaha dan penaman padi wangi sebagaimana padi biasa, sebagai usaha menggalakkan penanaman dan mengurangkan beban petani.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang.

Husam dalam ucapan aluannya juga berharap agak para petani dapat tampil lebih berani mencuba pelbagai cara baharu dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti tanaman seterusnya dapat menjana pendapatan yang lumayan.
– NAZ

Tinggalkan komen anda