Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala Lumpur

Jalan TAR Kekal Lokasi Membeli-belah Sempena Raya

By 27 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati [email protected] (WPKL)

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Bahang persiapan menyambut 1 Syawal makin terasa terutamanya di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang kelihatan agak lengang pada awal Ramadan.

Walaupun pada kali ini tiada lagi bazar Ramadan di Jalan TAR, namun tinjauan Malaysiaaktif pada hujung minggu lalu mendapati Jalan TAR masih mengekalkan reputasi sebagai lokasi pilihan ramai untuk membeli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kedai-kedai di Jalan TAR sudah mula diserbu warga kota dan luar kota untuk membeli barangan seperti pakaian, langsir, aksesori wanita, kasut dan sebagainya bagi menyambut hari raya yang bakal menjelang.

Keadaan lengang di Lorong Bazar Ramadan lama Jalan TAR yang serba sedikit mengurangkan jumlah pengunjung tahun ini.

Keadaan lengang di Lorong Bazar Ramadan lama Jalan TAR yang serba sedikit mengurangkan jumlah pengunjung tahun ini.

Menurut seorang pengunjung, Akmalwati Yusop, 39, Jalan TAR tetap menjadi pilihan utamanya untuk membeli belah kerana terdapat kemudahan tempat letak kereta serta berhampiran dengan stesen LRT.

“Mudah untuk saya datang ke sini kerana ada dua stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang berhampiran malah kalau naik kereta pun tempat meletak kenderaan banyak sekitar sini berbanding di Jalan Raja,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Nurzatul Iffah Abdul Halim, 40, tawaran harga barangan di Jalan TAR masih murah dan berpatutan menjadi sebab bagi dirinya membeli-belah di sini.

“Seronok sebab banyak pilihan yang boleh buat kita jadi rambang mata, tambahan harga baju di sini murah dan masih boleh tawar menawar,” kata Nurzatul Iffah.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan sempena raya di sini dengan harga yang berpatutan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan sempena raya di sini dengan harga yang berpatutan.

Sementara itu, bagi peniaga kedai baju di Lorong Jalan TAR, Nursyahira Suhaimi, 26, berpendapat sambutan pengunjung amat hambar pada awal Ramadan tahun ini, dengan lorong-lorong kelihatan lengang memandangkan tiada lagi bazar Ramadan seperti dahulu.

“Baharu dalam dua tiga hari ini sahaja kedai-kedai mula dikunjungi ramai memandangkan kakitangan kerajaan baru sahaja menerima gaji dan bonus raya. Kebiasaannya bila musim perayaan, mereka akan menerima gaji lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

“Harap-harap lagi ramai pengunjung datang pada hujung-hujung bulan Ramadan ini,” ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

-SH

Tinggalkan komen anda