Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Perkhidmatan Feri Ditambah, Masa Operasi Dilanjutkan

By 27 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Muhd Remmy (Sarawak)

KUCHING, 27 Mei (Malaysiaaktif)  – Bersempena musim cuti sekolah, perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk menambah bilangan feri dan melanjutkan masa operasi perkhidmatan feri sepanjang tempoh 25 Mei  sehingga 16 Jun 2019 di pengkalan-pengkalan feri di sepanjang laluan jalan pesisir Sarawak bagi menampung jumlah permintaan yang meningkat.

Perkhidmatan feri tersebut adalah seperti Feri Sebuyau/Triso di  Bahagian Samarahan dan Betong,  Feri Batang Saribas (Pusa/Beladin) di Bahagian Betong,  Feri Sungai Sian, Bintangor di Bahagian Sarikei,  Feri Batang Lawas di Bahagian Limbang.

Selain itu, Feri Muara Lassa, Feri Batang Paloh dan Feri Kuala Igan di Bahagian Mukah.

Masa operasi bagi kelima-lima pengkalan feri berkaitan adalah seperti berikut; Pengkalan Feri Sebuyau/Triso Bahagian Samarahan dan Betong, Feri Pertama masa operasi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua akan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi keesokan hari; dan  Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.

 Manakala Pengkalan Feri Batang Saribas (Pusa/Beladin) Bahagian Betong dengan beroperasi  Feri Pertama akan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua sehingga 2 pagi keesokan harinya.

Berbaris panjang….Khidmat feri tambahan kali ini adalah untuk mengurangkan kesesakan pengguna pada musim cuti sekolah dan musim perayaan Gawai dan Aidilfitri yang bakal tiba

Berbaris panjang….Khidmat feri tambahan kali ini adalah untuk mengurangkan kesesakan pengguna pada musim cuti sekolah dan musim perayaan Gawai dan Aidilfitri yang bakal tiba

 Manakala di Pengkalan Feri Sungai Sian, Bintangor Bahagian Sarikei beroperasi  Feri Pertama bermula seawal jam 5 pagi dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, dan  Feri tambahan kedua juga akan beroperasi sepanjang tempoh ini dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Pengkalan Feri Batang Lawas Bahagian Limbang,  Feri Pertama dilanjutkan dari 8 malam sehingga 12 tengah malam dan  Feri tambahan kedua juga akan turut beroperasi di pengkalan ini dari jam 6 pagi sehingga 8 malam.

 Pengkalan Feri Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan Bahagian Mukah dengan  Feri Pertama dan Feri Kedua akan dilanjutkan masa operasi sehingga 12 tengah malam. Sepanjang tempoh ini, pertambahan satu lagi feri, iaitu Feri Ketiga akan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam.

Menurut sumber, jurucakap perkhidmatan Feri di seluruh Sarawak berkata langkah ini diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri.

Katanya, Langkah ini juga dilihat mampu mengurangkan masa menunggu di pengkalan feri ini pada waktu puncak iaitu ketika musim perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta musim cuti sekolah.

 Pengguna-penguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri di seluruh Sarawak dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan keluar masuk feri.

  Juga diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak. Ketika kenderaan berada di dalam feri, enjin hendaklah dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung dan rakit keselamatan.

Tinggalkan komen anda