Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Lawatan Menteri KKMM ke Sarawak Erat Kerjasama Kerajaan Pusat, Negeri

By 14 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUCHING, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Lawatan rasmi Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo ke Sarawak pada Jumaat dan Sabtu ini akan memberi makna buat rakyat Sarawak di samping mengeratkan kerjasama yang lebih baik antara kerajaan pusat melalui KKMM dan kerajaan negeri.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata apa sahaja kebaikan dan faedah yang akan dibawa secara bersama-sama bakal dikembalikan semula kepada rakyat Sarawak dalam program Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan Gobind di Bintulu.

“Sebagai yang berhormat menteri sudah tentulah saya percaya beliau (Gobind) akan membawa perkhabaran positif yang faedahnya adalah untuk rakyat Sarawak,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini hari ini.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM Shakib Ahmad Shakir serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KKMM di Sarawak.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee menegaskan tidak perlu untuk menggembar-gemburkan perkara yang tidak tepat mengenai lawatan Gobind itu.

Beliau berkata terdapat khabar angin bahawa ada sekatan dikenakan daripada pihak wakil rakyat tertentu bagi semua pemimpin komuniti untuk menghadiri sebarang majlis rasmi kementerian persekutuan di Sarawak.

“Saya dimaklumkan, digembar-gemburkan mengenai perkara-perkara yang kurang tepat antaranya program di Bintulu itu nanti, tidak benar,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan persekutuan berhubung stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kurang membuat liputan mengenai negeri ini, beliau berkata kementerian melihat ia sebagai ‘satu teguran yang membina’.

“Kita di kementerian sentiasa terbuka dengan sebarang komen atau pandangan yang kita percaya perkara ini bukanlah bersifat peribadi sebaliknya jika ada perkara yang difikirkan perlu dilakukan pengubahsuaian dan penambahbaikan, kita akan buat sekiranya faedahnya dapat diberikan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda