Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Paip Pecah: 5,000 Akaun Pengguna, 23 Kawasan Terjejas

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Hampir 23 kawasan atau 5,000 akaun pengguna di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian satu paip utama pecah di Jalan Batu Caves berhampiran Masjid Jamek Al-Amaniah, di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin berkata Air Selangor dapat mengenal pasti satu paip berukuran 552 milimeter (mm) telah pecah dan usaha membuang air daripada lubang besar yang terbentuk bagi melihat tahap kerosakannya.

“Air Selangor sedang berusaha menggantikan paip tersebut secepat mungkin. Tempoh pengantian belum dapat kenal pasti kerana air masih bertakung lagi.

“Kejadian dikesan jam 10 pagi tadi, tindakan daripada Air Selangor telah diambil lebih kurang sejam kemudian. Mereka cuba menghentikan air daripada paip yang pecah itu,” katanya yang ditemui ketika melawat kawasan kejadian sebentar tadi.

Menurut Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, pihak Air Selangor telah dapat mengenal pasti 80 peratus punca kerosakan dan sedang berusaha menyelesaikannya.

Kejadian paip utama berukuran 525 milimeter pecah bakal menjejaskan penduduk sekitar Batu Caves dan Gombak.

Kejadian paip utama berukuran 525 milimeter pecah bakal menjejaskan penduduk sekitar Batu Caves dan Gombak.

“Terdapat 5,000 akaun pengguna akan terkesan. Air Selangor akan menggerakkan lori tangki untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.

“Saya juga minta Ahli Majlis dan Pejabat DUN Sungai Tua untuk memantau jika ada keperluan-keperluan dan kita akan bantu untuk menyalurkan air.

“Sekiranya berjalan lancar, kita jangkakan baik pulih air cuba dibuat dalam tempoh kurang 48 jam. Namun kita belum pasti kerana perlu mendapatkan laporan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8, Mohamad Faizal Ismail berkata, punca kejadian berlaku akibat jalan di kawasan itu mendap dan sebuah lori terperangkap di dalamnya.

“Dalam usaha lori satu tan itu untuk keluar daripada kawasan mendap, menyebabkan paip air tersebut pecah dan merebak seperti yang berlaku ini.

“Buat masa ini Air Selangor dan MPS akan memantau sepanjang tempoh pembaikan ini. Diharap penduduk sekitar kawasan yang terjejas agar menyimpan air secukupnya dalam tempoh 48 jam ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda