Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bas Smart Selangor Beroperasi di Batu Arang

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Laluan baharu Bas Smart Selangor dari Batu Arang ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh akan mula beroperasi 1 Jun ini.

Pemangku Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Juhari Ahmad berkata laluan tersebut melibatkan jarak sejauh 32.3 kilometer (km) yang mengambil masa satu jam 30 minit.

Menurut beliau, empat buah bas akan beroperasi di laluan tersebut dengan kekerapan selama 45 minit bakal memanfaatkan penduduk di 45 kawasan termasuk Kundang, Bandar Tasik Puteri, Bukit Rahman Putra dan Sungai Buloh.

“Bas itu juga akan melalui kawasan sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Rahman, SMK Bandar Tasik Puteri, SMK Bukit Rahman Putra dan lain-lain.

“Pengguna juga boleh menggunakan Kemudahan itu untuk ke Klinik Kesihatan Batu Arang, Pejabat Pos Batu Arang dan Bandar Tasik Puteri, Hospital Sungai Buloh selain melalui kawasan perindustrian Bukit Rahman Putra serta Sungai Buloh Jaya,” katanya semasa Mesyuarat Penuh Bulanan MPS, di sini hari ini.

Juhari berharap kemudahan percuma itu akan dimanfaatkan orang awam sepenuhnya bagi mengurangkan beban kewangan khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“MPS percaya dengan adanya perkhidmatan bas yang beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam ini mampu mengurangkan kepadatan trafik di kawasan sekitarnya,” katanya.

Laluan baharu itu merupakan yang ketiga dalam kawasan pentadbiran MPS selain di Bandar Baru Selayang ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Tesco Rawang ke KTM Rawang.

-NAZ

Tinggalkan komen anda