Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Pertanian Satu Perniagaan: Tanam Tebu Berkelompok Jana Ekonomi Pemuda B40 Kampung Serian

By 14 Mei 2019Mei 17th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 14 Mei  (Malaysiaaktif) – Inisiatif sebelas pemuda Kampung Serian Kota Bharu mengusahakan tanaman tebu telor berkelompok di atas tanah seluas 3 ekar ternyata menjana pendapatan lumayan.

Cetusan semangat dan usaha ini adalah sahutan kepada kempen Kerajaan bahawa bidang pertanian mampu menjana pulangan lumayan serta menguntungkan sekiranya diusahakan secara betul dan besungguh-sungguh.

Ketua kumpulan petani muda ini Wan Mohd Shari Wan Zin, 35, menjelaskan projek ini pada awalnya merupakan projek rintis sebagai aktiviti sampingan penduduk di sini, selain daripada tanaman padi yang menjadi keutamaannya.

Projek tanaman tebu telor berkelompok ini telah mendapat perhatian serta sokongan daripada Jabatan Pertanian Jajahan Kota Bharu dengan memajukan teknik penanaman tebu telor secara komersial serta penerokaan pasaran yang lebih besar.

Jabatan Pertanian Jajahan Kota Bharu turut menyediakan bantuan seperti baja dan racun kepada kumpulan pengusaha tebu telor ini.

Muhammad Nurfirdaus Ab Rahim, Pegawai Pertanian Jajahan Kota Bharu, bersama Pembantunya meninjau perkembangan tanaman Tebu Telor dari masa ke semasa.

Muhammad Nurfirdaus Ab Rahim, Pegawai Pertanian Jajahan Kota Bharu, bersama Pembantunya meninjau perkembangan tanaman Tebu Telor dari masa ke semasa.

Menurut Mohd Ali Imran Mohd Rusli, 25, salah seorang peserta kumpulan ini menyifatkan, projek tanaman tebu telor ini sememangnya mempunyai pasaran yang agak besar dan mendapat permintaan tinggi dari luar Kelantan seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Purata pendapatan setiap musim tuaian pula mencecah sekitar RM3500 sehingga RM5500 seorang.

Manakala Mohd Alif Idham Rusli, 17, menyatakan beliau bertuah kerana berpeluang menyertai projek ini, sekaligus mendapat pengalaman baharu dalam sektor pertanian dan menjana pendapatan tambahan.

“Projek ini juga secara langsung mewujudkan peluang baharu kepada golongan muda untuk terus maju di sektor pertanian,” tambah Mohd Alif.

Pulangan yang lumayan ini telah mencetuskan semangat yang berterusan kepada mereka mencari tanah-tanah terbiar yang sesuai di persekitaran untuk diusahakan sebagai ladang tebu telor.

Ini juga didorongi oleh permintaan yang semakin meningkat, khususnya di bulan Ramadan.

Secara tidak langsung projek seterusnya bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang menganggur di kampung.

-NAZ

Tinggalkan komen anda