Skip to main content
Berita TempatanHomePerak

Piknik Ramadan Mesra Pungunjung Bukan Islam

By 19 Mei 2019Mei 20th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

Pelapor/foto: Mohd Alihanafiah Mohd Khairy (Teluk Intan)

TELUK INTAN, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Cuaca petang yang cerah seolah-olah mengalukan kehadiran lebih kurang 2000 orang pengunjung ke Padang Speedy bagi menyertai Program Piknik Ramadan 2019, di sini semalam yang turut dihadiri pengunjung dari luar daerah ini.

Menurut pengarah program Nur Najihah Muhaimi, penganjuran program kali ini merupakan yang terbesar sejak kali pertama diadakan enam tahun lalu.

“Tahun demi tahun, kita dapati penglibatan pengunjung bukan Islam semakin bertambah yang mana mereka turut sama menyertai umat Islam berbuka puasa dengan cara berpiknik ini.

“Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk menyatukan penduduk yang pelbagai kaum dan agama di samping menaikkan nama Teluk Intan sebagai pusat pencetus Piknik Ramadan,” jelasnya.

Najihah yang juga merupakan Pengerusi Sukarelawan Aspirasi Teluk Intan (SATIN), berkata pihaknya akan membawa program ini ke peringkat yang lebih luas dan menjadikannya sebagai tradisi tahunan di daerah ini.

“Kami juga berharap banyak lagi penaja serta pengunjung dapat menyertai kami pada masa hadapan, semoga keakraban penduduk di sini menjadi contoh di tempat-tempat lain,” tambahnya.

Seorang pengunjung dari Petaling Jaya Abdul Halim Halimi, 18, berkata dia teruja melihat sambutan menggalakkan penduduk tempatan berbilang kaum yang datang.

Pengunjung piknik bersedia untuk berbuka dengan juadah masing-masing.

Pengunjung piknik bersedia untuk berbuka dengan juadah masing-masing.

“Selain dapat berbuka dengan kawan-kawan, program ini juga meraikan rakan-rakan yang bukan beragama Islam untuk bersama-sama menyambut Ramadan dalam suasana penuh muhibbah,” ulasnya.

Rata-rata pengunjung yang hadir berbangga kerana keterbukaan program ini menerima kunjungan orang bukan Islam.

Pengunjung, Tan Oi Ling, 50, menjelaskan bahawa tahun ini merupakan tahun ketiga dia menyertai Riadah Ramadan.

“Rugi kalau tak datang. Dalam setahun, sebulan sahaja Ramadan,” ujarnya yang turut hadir bersama-sama ahli keluarganya.

Oi ling juga berharap iklan program ini dapat dibuat dalam versi bahasa Mandarin dan Tamil agar lebih ramai penduduk dapat menyertainya pada tahun hadapan.

Program ini merupakan anjuran bersama SATIN dengan kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Hilir Perak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Air Perak (LAP), Hospital Teluk Intan, Pejabat Penghulu Daerah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, dan Pejabat Polis Daerah.

-SH

Tinggalkan komen anda