Skip to main content
Berita Tempatan

Sanggup Berpanas Dapatkan Bubur Lambuk Percuma

By 8 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Tidak sampai satu jam, kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk habis diagihkan kepada orang ramai di pekarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu pada hari pertama Ramadan.

Bubur lambuk mula diagihkan pada 3.30 petang, bagaimanapun orang ramai sudah mulai berbaris seawal 2.45 petang.

Imam Besar Negeri Terengganu, Mokthar Salleh berkata program agihan bubur lambuk percuma bermula pada tahun 2009 dan berterusan hingga ke hari ini.

Orang ramai mendapatkan bubur lambuk percuma di perkarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Orang ramai mendapatkan bubur lambuk percuma di perkarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

“Sebelum ini peruntukan menyediakan bubur lambuk disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, walau bagaimanapun pada tahun ini pihak pengurusan Masjid Abidin membuka ruang kepada orang ramai terutama badan korporat untuk menyumbang peruntukan kewangan bagi penyediaan bubur lambuk.

“Sebanyak RM4,000.00 hingga RM5,000.00 sehari diperlukan untuk menyediakan 2,000 bekas bubur lambuk dan pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat atau orang perseorangan untuk membuat amal pada bulan yang mulia ini,” katanya.

Mokthar berkata, bubur lambuk yang disediakan sentiasa menjadi rebutan orang ramai kerana rasanya yang sedap dan berbeza daripada bubur lambuk di tempat lain.

Ketua tukang masak, Awang Deraman

Ketua tukang masak, Awang Deraman

Pada tiga hari pertama bulan Ramadan, peruntukan untuk menyediakan bubur lambuk disumbang oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd.

Penyediaan bubur lambuk dimulakan seawal 6.00 pagi setiap hari pada bulan Ramadan oleh lapan orang pekerja di kawasan tempat letak kereta Masjid Abidin.

Ketua tukang masak, Awang Deraman, 64, berkata 60 kilogram beras dan 80 kilogram sayuran diperlukan setiap hari untuk menyediakan 2,000 bekas bubur lambuk.

Sheik Abdul Majid Mohd Ali

Sheik Abdul Majid Mohd Ali

“Pekerja akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memasak bubur lambuk dan tugas penyediaan bubur lambuk siap 12.30 tengah hari.

Seorang penggemar bubur lambuk , Sheikh Abdul Majid Mohd Ali, 35, berkata beliau sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan bubur lambuk itu.

Beliau yang tinggal di Kampung Cina, Kuala Terengganu berkata, rasa bubur lambuk yang sedap dan berbeza daripada bubur lambuk lain membuatkan beliau sanggup berbaris hampir setiap hari untuk mendapatkan bubur lambuk itu.

Zaini Yusof

Zaini Yusof

Zaini Yusuf, 55, dari Kampung Gelugur, Kuala Terengganu berkata, beliau turut menggemar bubur lambuk yang disediakan oleh pengurusan Masjid Abidin.

“Saya akan mendapatkan bubur lambuk jika ada kelapangan atau ketika ke bandar kerana rumah terletak kira-kira 10 kilometer dari Masjid Abidin,” ujarnya.

EM

Tinggalkan komen anda