Skip to main content
Berita TempatanKelantan

‘Sleeping Buddha’ Wat Photivihan, Keajaiban Tamadun Siam Tumpat

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Fadli Muhamad (Tumpat)

TUMPAT, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Tumpat adalah salah satu daerah bersempadanan dengan Thailand yang terpisah oleh muara Bang Nara serta Sungai Golok.

Ekoran faktor kedekatannya dengan Pekan Takbai Wilayah Narathiwat, sebahagian cara hidup dan masyarakat di sini turut dipengaruhi oleh budaya Siam atau Thai.

Komuniti Siam di Tumpat adalah yang terbesar berbanding daerah-daerah lain di Kelantan. Komuniti Siam tempatan tergolong dalam kategori bumiputera dan mereka turut menikmati keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Komuniti Siam dikatakan telah lama bertapak di Tumpat iaitu sebelum Perjanjian Bangkok 1909 lagi. Perjanjian ini telah memisahkan Wilayah Pattani di Selatan Thai dengan Tanah Melayu dan mengakhiri penguasaan Bangkok ke atas Kelantan.

Bangunan tempat ibadat atau biara bagi penganut Buddha dengan ukiran Tradisi.

Bangunan tempat ibadat atau biara bagi penganut Buddha dengan ukiran Tradisi.

Tamadun komuniti Siam di Tumpat jelas kelihatan dengan kewujudan 25 rumah ibadat Siam atau Wat di sini. Antara rumah ibadat yang paling popular ialah Wat Photivihan yang terletak di Kampong Jambu, 10 kilometer dari Bandar Tumpat.

Keunikan Wat ini ialah binaan replika ‘Sleeping Buddha’ atau patung Buddha yang sedang tidur bersaiz 40.9 meter panjang dengan ketinggian 10.9 meter.

Menurut Ketua Sami Wat Phothivihan, Than Rhan, 58, berkata ‘The Sleeping Buddha’ yang terletak di atas sebidang tanah seluas 2.4 hektar mula dibina pada tahun 1973 dan mengambil masa selama 6 tahun untuk disiapkannya.

Than Rhan, 58, Ketua Sami di Wat Phothivihan.

Than Rhan, 58, Ketua Sami di Wat Phothivihan.

“Pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta hasil sumbangan daripada orang ramai serta pelancong,” tambah beliau yang telah berkhidmat di sini lebih dari 40 tahun.

Buddha Tidur telah menjadi daya penarik kepada industri pelancongan Tumpat khususnya bagi ‘religous tourism’ di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Selain daripada berkunjung ke Wat Photivihan untuk sembahyang atau beribadat, pelancong juga berpeluang menyaksikan satu keajaiban seni bina dan tamadun komuniti Siam.

“Ramai pelancong asing dan tempatan melawat ke Negeri Kelantan dan khususnya ke Wat ini semata-mata untuk melihat patung ini terutamanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum,” ujarnya lagi.

Kemesraan dan layanan baik komuniti Wat Photivihan terhadap pelancong tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa membuatkan lokasi ini terus ditular di media sosial sebagai lokasi terbaik untuk dilawati.

-NAZ

Tinggalkan komen anda