Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Ramadan Bukan Penghalang, Penyampaian Dasar Kerajaan Terus Berjalan

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)

BACHOK, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Kebergantungan masyarakat kepada maklumat yang tepat dan sahih adalah pemangkin kepada pembangunan minda serta kemajuan sosio ekonomi sesebuah masyarakat, khususnya di era kepelbagaian maklumat yang menembusi talian digital.

Dalam memastikan kelompok masyarakat didedahkan dengan maklumat yang benar dan terkini, Pejabat Penerangan Daerah Bachok dengan kerjasama Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Antarabangsa Pakatan Harapan Kelantan telah menganjurkan Program Iftar Bersama komuniti Kampung Pauh Lima, Bachok.

Di samping menyampaikan maklumat semasa berkaitan dasar-dasar kerajaan, program ini juga berupaya mendekatkan agensi kerajaan dengan komuniti setempat.

Program yang diadakan di kediaman Karuzan Daud, seorang usahawan dan pembekal kiub ais tempatan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Komunikasi Multimedia dan Antarabangsa, Zulkifli Zakaria serta hampir masyarakat sekitar.

Zulkifli Zakaria, 62, berpendapat program seperti ini memang menarik kerana boleh merapatkan hubungan antara agensi kerajaan, pemimpin tempatan dan golongan sasar secara santai melalui majlis iftar atau berbuka puasa bersama-sama, dan diselitkan dengan sesi penyampaian maklumat yang sahih daripada Jabatan Penerangan.

Zulkifli Zakaria (kiri)Pengerusi Portfolio Komunikasi Multimedia dan Antarabangsa.

Zulkifli Zakaria (kiri)Pengerusi Portfolio Komunikasi Multimedia dan Antarabangsa.

“Secara tidak langsung, pemimpin tempatan dan masyarakat setempat juga turut mendapat maklumat yang berfaedah daripada jabatan itu sendiri untuk dipasarkan ke peringkat akar umbi,” jelas Zulkifli lagi.

Komuniti Pauh Lima telah didedahkan dengan maklumat berkaitan pelan pemulihan Tabung Haji, i-Suri dan Peka B40 secara santai sementara menunggu waktu berbuka.

Komuniti juga berpeluang mengemukakan persoalan yang melingkari pemikiran mereka berkaitan dasar dan pendirian semasa kerajaan.

Turut dijelaskan berkaitan fenomena perkongsian maklumat di media sosial, yang memerlukan ketelitian serta kesahihan sebelum dikongsikan kepada orang lain.

Menurut Mohamad Yusuf Ahmad, 64, beliau beruntung kerana program ini telah membuka mata dan minda beliau terhadap kesan buruk mengambil input daripada sumber yang tidak sahih seperti posting umum daripada mana-mana individu di media sosial yang mampu memanipulasi pendapat pembaca.

Pendekatan ini dilihat amat sesuai dalam memanfaatkan penyampaian maklumat kerajaan di bulan Ramadan dan komunikasi bersemuka ternyata masih relevan serta berupaya ‘menyentuh’ melalui penjelasan yang berfakta.

-NAZ

Tinggalkan komen anda