Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Sumbangan Rakan di Laman Sembang Penyembuh Duka

By 29 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Yahya Abdul Rajak/Azmie Dait@Ching (Kota Kinabalu)

KENINGAU, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Sayu, hingga tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi, hanya Allah sahaja tempat mengadu dan bersyukur atas sumbangan kewangan dari sahabat-sahabat di laman sembang Whatsapp rentetan musibah menimpa diri pada awal tahun ini.

Kejadian kebakaran yang memusnahkan kediaman Sofie Sapli atau lebih dikenali sebagai More oleh rakan-rakan yang tinggal di Kampung Bayangan, Keningau awal tahun ini benar-benar memberi tekanan dalam hidupnya.

Sofie(baju hijau) ketika menyambut ketibaan rakan-rakannya.

Sofie (baju hijau) bersama anak-anaknya ketika menyambut ketibaan rakan.

Sejak kejadian itu Sofie bersama tiga lagi anaknya hidup dalam keadaan daif di sebuah garaj kereta bersebelahan tapak rumah yang hangus sambil mengenang takdir dan memikir apa kesudahan hidup ini.

Lebih malang lagi apabila isteri kesayangan turut membuat keputusan untuk meninggalkan beliau dan anak-anak, akibat tidak sanggup untuk meneruskan hidup begitu.

Sebelum peristiwa malang ini menimpa, hidup beliau juga sebenarnya tidak seindah mana ditambah lagi dengan masalah kesihatan yang tidak mampu untuk melihat dengan jelas turut memberi kesulitan kepada dirinya.

Sofie(kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada rakan-rakannya.

Sofie (kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada rakan-rakannya.

Menurut Sofie walaupun kehidupannya susah, beliau tetap juga berusaha mencari pekerjaan, tetapi kesukaran melihat memberi kekangan buat dirinya untuk diambil bekerja di mana-mana syarikat yang cuba dipohonnya.

Saya pernah berjumpa ramai pengurus kedai untuk menawarkan diri berkerja, tetapi apabila ditanya apa yang boleh saya lakukan, saya sendiri sukar untuk menyatakannya kerana masalah penglihatan ini.

“Selain masalah membaca, saya juga berhadapan risiko memori iaitu kesukaran untuk mengingati apa yang berlaku, disebabkan sering mengalami strok dan koma.

Mesej yang tular hingga membawa kepada bantuan sumbangan kepada Sofie.

Mesej yang tular hingga membawa kepada bantuan sumbangan kepada Sofie.

“Apabila serangan strok berlaku hingga membawa koma, hanya anak sulung yang sekarang berumur 15 tahun saja menjadi sandaran untuk membantu menjaga diri dan adik beradiknya yang lain,” ujar Sofie.

Keadaan sedih keluarga Sofie ini akhirnya mendapat perhatian dari rakan sepengajian ketika di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah, Azmie Dait@Ching yang secara kebetulan terlibat dalam pelaksanaan program Ziarah Kasih Team CSR, Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah ke rumahnya baru-baru ini.

Ching yang dihubungi berkata beliau tidak menyangka bahawa rumah yang ingin dilawati itu adalah rumah sahabat karib semasa ketika zaman pengajian dahulu.

Sofie(kiri) dan Ching (Kanan) sahabat karib sepengajian ketika di UiTM Sabah.

Sofie (kiri) dan Ching (Kanan) sahabat karib sepengajian ketika di UiTM Sabah.

“Saya sedih dan menangis apabila melihat rakan saya hidup sebegini, lebih terharu Sofie masih ingat nama saya.

“Lepas daripada lawatan ini, saya terus menghubungi rakan-rakan sepengajian kami semasa di UiTM sekitar tahun 1997 melalui whatsapp dan ianya mendapat respons yang positif.

“Saya pun tidak menyangka bahawa respons bukan sahaja dari kalangan rakan sepengajian malah turut tular serta mendapat respons dari junior yang turut mengenali beliau.

Pondok kecil tempat tinggal sementara sebelum menerima bantuan Kebajikan.

Pondok kecil tempat tinggal sementara sebelum menerima bantuan Kebajikan.

“Akhirnya kami membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan seadanya bagi meringankan beban beliau melalui satu akaun peribadi sebelum kami serahkan kepadanya pada Jumaat lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, Sofie kini mempunyai masalah kesihatan fizikal dan mental selain emosi yang tidak tenteram akibat dari kekerapan serangan strok.

“Keadaan penglihatan beliau merosot dengan mata sebelah kanan tidak dapat melihat dengan jelas hingga tidak dapat menulis mahupun membaca, sebahagian memori juga terkesan akibat kerap mengalami strok dan koma.

Rakan-rakan yang sempat menziarahinya merakamkan kenangan bersama Sofie.

Rakan-rakan yang sempat menziarahinya merakamkan kenangan bersama Sofie.

“Melihat kepada kekuatan dan semangat juang keluarga ini banyak memberi inspirasi kepada saya untuk belajar bersyukur serta redha dengan apa yang telah ditentukan olehNya,” katanya semasa dihubungi selepas mengadakan kunjungan susulan tersebut.

Dugaan hidup ini tentunya tidak hanya berserah sahaja dengan apa yang berlaku, usaha tetap diusahakan.

Walaupun anak kepada Sofie menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi bantuan ini masih tidak dapat menampung keperluan mereka sekeluarga, justeru mereka merancang untuk berkebun dengan menanam lada, tembakau atau pisang.

Namun begitu, Sofie masih memerlukan bantuan modal untuk mendapatkan bibit dan baja untuk bercucuk tanam.

Bagi sesiapa yang ingin membantu menjayakan hasrat saudara Sofie Sapli bolehlah menghubungi beliau di talian 01114157932 di alamat GDW Kampung Bayangan, Keningau atau menyalurkan sumbangan anda di nombor akaun 121123016570260100011 (Bank Simpanan Nasional).

EM

Tinggalkan komen anda