Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Tingkatkan Ukhuwah, Kunci Kesejahteraan Kaum

By 20 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan/foto: Mohd. Yusof Abd Samad (Tangkak)/Facebook KDN

TANGKAK, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian kaum yang ada di negara ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing, dan keunikan ini haruslah dikekalkan kerana ianya akan menjadikan negara ini contoh kepada dunia.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kesejahteraan dapat dipupuk dan dinikmati bersama walaupun masyarakat negara ini berbeza kaum, agama dan fahaman, dan biarpun terdapat perbezaan ideologi namun perpaduan itu dapat dipupuk sejak dari dahulu lagi.

“Nilai-nilai murni jika diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat keharmonian dan perpaduan kaum akan terjalin dengan sendirinya, namun, jika tiada persefahaman dan sering mempunyai hasad dengki kesejahteraan dalam masyarakat sukar untuk diwujudkan,” katanya ketika merasmikan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Masjid Datuk Abd. Ghani, di sini semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan agar ukhuwah ini harus ditingkatkan agar kesejahteraan kaum itu dapat dikembangkan.

“Prinsip nilai-nilai etika yang baik serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan haruslah dijadikan amalan dalam kehidupan seharian hidup bermasyarakat.

Alwi (tengah) menyampaikan geran komuniti kepada wakil Persatuan Penduduk Taman Rekamas.

Alwi (tengah) menyampaikan geran komuniti kepada wakil Persatuan Penduduk Taman Rekamas.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga akan berusaha secara berterusan bagi mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian kaum ini supaya keamanan ini berkekalan,” ujarnya lagi.

KDN antara pemegang tanggungjawab penting dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan dalam negara ini dan majlis ini diadakan bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni antara kaum, dan buktinya ia turut dihadiri oleh penduduk sekitar berbilang bangsa.

Arumugam a/l Mariappan, 54, yang ditemui menyatakan bahawa persefahaman penting kerana tanpanya sukar untuk membentuk perpaduan khususnya di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Ketua Setiausaha KDN Alwi Ibrahim, turut menyatakan program sebegini bukan sahaja dapat mendekatkan pihak kementerian dengan masyarakat luar bandar malah memahami permasalahan yang dihadapi dengan menghulurkan sumbangan sewajarnya kepada mereka.

Dalam Majlis ini turut disampaikan geran komuniti bagi pertubuhan yang mendaftar dengan KDN, sumbangan kepada golongan asnaf dan majlis berbuka puasa.

SH

Tinggalkan komen anda