
Laporan/ foto: Pai Syahira Yahya (Pahang)
KUANTAN, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Undang-undang pengamal media diwujudkan bagi memastikan liputan yang adil terhadap semua pihak ketika pilihan raya dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dalam Majlis Kajian Semula Sistem dan Undang-undang Pilihan raya Malaysia.
Majlis yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan dihadiri Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo supaya laporan media sepanjang pilihan raya bersifat terbuka dan tidak dipengaruhi mana-mana parti politik.
“Saya sudah berbincang dengan menteri dan berjanji untuk mengkaji secara serius bagaimana SPR boleh mengawal media terutama media sosial supaya tidak menjadi sesuatu yang boleh memburukkan keadaan sekali gus bertentangan dengan amalan demokrasi.”
“Ini bagi menentukan supaya pilihan raya yang dijalankan di masa depan adil serta dapat mewujudkan politik matang,” tambahnya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada undang-undang khusus yang dapat mengawal pergerakan media pada musim pilihan raya.
“Ini bagi menentukan liputan yang dilakukan itu adil kepada semua pihak serta dapat menghidupkan demokrasi dalam pilihan raya.”
Jelasnya undang-undang yang diwujudkan meliputi semua media rasmi kerajaan dan arus perdana termasuk kawalan media sosial yang perlu diberikan perhatian terperinci.
Sehubungan itu, pihak ERC akan menggunakan semua saluran bagi mendapatkan isi konkrit sebelum melaksanakan undang-undang tersebut.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam ucapatama Majlis Kajian Semula Sistem dan Undang-undang Pilihan raya Malaysia Yang berlangsung di UIAM Kuantan