Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Roti Titab Bawa Keharmonian Erat Perpaduan

By 2 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Un Suat Fern

Kota Bharu, 2 Mei (Malaysiaaktif) – ‘Roti Titab’ merupakan menu istimewa yang sangat sinonim dengan restoran Kopitiam Kita di Kota Bharu.

Roti Titab menjadi sajian popular di sini kerana set roti Hailam bakar dan dihidangkan dengan telur separuh masak dan disaluti kaya pada empat penjurunya.

Menu ini menjadi faktor penarik kepada pengunjung tempatan serta luar Kelantan tanpa mengira kaum dan budaya.

Restoran ini terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa, kira-kira 2 kilometer dari Pusat Bandar, Kota Bharu.

Keunikan restoran ini bukan sahaja kepada roti titab sahaja, tetapi ianya menjadi satu simbol perpaduan bagi masyarakat tempatan.

Roti Titab tarikan di Kopitiam Kita

Roti Titab tarikan di Kopitiam Kita

Kopitiam Kita diusahakan oleh N.H. Wong, 63, dengan dibantu dua anaknya Stanley Wong, 36, dan Shervin Wong, 35, manakala sebahagian besar pekerja adalah orang-orang Melayu tempatan sebagai pelayan serta penyedia makanan dan minuman.

Menurut N.H. Wong, nama Kopitiam Kita dipilih kerana ia merupakan satu nama yang ringkas dan mudah diingati, ia bagaikan istilah dan gambaran kepada sebuah keluarga besar seiring dengan namanya ‘KITA’ yang membawa maksud semua kelompok tanpa kira kaum sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya bertandang di kedai ini untuk menikmati hidangan kegemaran.

“Roti Titab adalah hasil cetusan resepinya saya sendiri yang telah didaftarkan hak cipta dan jenama ‘Roti Titab’ hanya terdapat di Kopitiam Kita sahaja,” ujar Wong.

Tambahnya, selain Roti Titab, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai makanan tempatan seperti nasi air dingin, nasi berlauk, nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, nasi tumpang, pulut pagi dan pelbagai jenis kuih-muih tempatan.

Seorang pelanggan yang ditemui Tan Beng Hui, 36 berasal dari Pulau Pinang merupakan seorang jurujual yang setiap dua bulan ke Kelantan menyatakan, menjadi satu kemestian ke Kopitiam Kita untuk bersarapan bila berada di Kota Bharu.

Stanley Wong dan Shervin Wong bersama N.H. Wong pengusaha Kedai Kopitiam Kita

Stanley Wong dan Shervin Wong bersama N.H. Wong pengusaha Kedai Kopitiam Kita

“Saya mendapat maklumat Kopitiam Kita daripada rakan niaga yang mengongsinya di laman sosial,” tambahnya lagi.

“Saya teruja apabila dikelilingi dan melihat keriuhan perbualan pelbagai kaum di sini bagaikan keluarga besar menjamu selera di bawah satu bumbung dalam suasana mesra. Kalau di Pulau Pinang susah dapat melihat suasana seperti ini,” katanya ketika ditemui di Kopitiam itu.

Sementara itu, Mohamad Ridzuan Bin Othman @Ariff (Abe Wae), 41, yang merupakan pekerja kedai Kopitiam Kita berasa seronok setiap hari dapat melihat pelanggan dari pelbagai bangsa yang mengunjungi kedai ini yang tidak kisah berkongsi meja bersama kaum lain dan orang yang tidak dikenali semasa ramai pelanggan, ujarnya yang telah 6 tahun bekerja di sini.

Selain hidangan yang enak, di barisan layan diri terdapat gambar kenangan para pelanggan termasuk golongan kenamaan dan selebriti yang dipamerkan pada dinding kopitiam itu untuk tatapan pengunjung dan kenang-kenangan peribadi pemilik kedai ini.

Waktu operasinya adalah setiap hari dari pukul 6.30 pagi hingga 2.30 petang, kecuali Jumaat hingga pukul 12.30 tengah hari sahaja dan tidak beroperasi pada waktu malam.

-NAZ

Tinggalkan komen anda