Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

AGB Beri Nafas Baharu Penduduk Rumah Baying

By 25 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

Engkelili, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Projek Air Graviti Bukit (AGB) yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di Rumah Baying, Kumpang Langir, Lubok Antu Sri Aman telah memberi nafas baru kepada penduduk kampung.

Projek menelan belanja RM 98,000 ini diselia secara langsung oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak (JMG). Peruntukan projek disalur oleh JBALB kepada JMG Malaysia Sarawak pada tahun 2018.

Kos tersebut melibatkan kerja-kerja membekal, menghantar paip serta bahan binaan dibuat secara sebutharga terbuka dan  dilaksanakan melalui konsep gotong royong. Ia telah memberi memberi manfaat kepada lebih kurang 250 orang penduduk di Rh Baying dan Rh Kili.

Menurut wakil JMG, menyatakan pihaknya mempunyai kepakaran serta kebolehan melaksanakan projek tersebut, bukan saja melaksana projek Air Graviti Bukit tetapi juga pakar dalam mengambil air tanah dengan melaksanakan projek Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR). Pada masa sekarang, banyak  kawasan luar bandar telah dibina menggunakan teknik gerudi, water jet dan AGB oleh JMG Sarawak.

Projek pembekalan air ini adalah dengan membina empangan dan penyaluran air menggunakan paip HDPE berukuran 90mm dan 63 mm dari empangan dengan jarak lebih kurang 1,000 meter dari rumah panjang.

Sumber air ini boleh diminum terus kerana ia dipasang dengan column filter dan ultra membrane untuk menapis dan membersihkan air secara automasi. Air yang ditapis disimpan di dalam tangki penyimpanan sebelum disalur ke rumah panjang.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Jugah Muyang, Ahli Parlimen Lubok Antu. Beliau mengucapkan terima kasih kepada JMG dan berharap kawasan lain di Lubok Antu akan mendapat projek yang sama supaya kesemua penempatan di kawasan beliau mendapat sumber air bersih. Beliau akan membantu dalam mendapatkan lebih banyak peruntukan dari kerajaan pusat untuk melaksanakan projek ini.

hli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang melakukan upacara perasmian Projek AGB sambil disaksikan oleh Hilary Muyan Nicholas Thomas dan Tr Baying

hli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang melakukan upacara perasmian Projek AGB sambil disaksikan oleh Hilary Muyan Nicholas Thomas dan Tr Baying

“Kawasan luar bandar terutama penempatan rumah panjang memerlukan kemudahan asas seperti air. Kawasan Lubok Antu misalnya, masih banyak penempatan yang memerlukan peruntukan bagi pembangunan projek bekalan air bersih.”

“Kerajaan Persekutuan harus memberi perhatian lebih serius dan melupakan perbezaan politik demi kemajuan dan kesejahteraan penduduk terutama di kawasan luar bandar,” ujar beliau lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Hilary Muyan Nicholas Thomas, Timbalan Pengarah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersama dengan beberapa pegawai dan kakitangan JMG Sarawak.  Di dalam ucapannya, beliau menyeru penduduk rumah panjang agar bekerjasama terutama dalam kerja-kerja pembersihan empangan dan penapis.

“Saya mahu penduduk rumah panjang menjaga dan selalu membuat kerja-kerja pembersihan empangan dan penapisan agar kemudahan ini bertahan lama serta dapat dimanfaat sepenuhnya oleh penduduk”.

“Gunakanlah kemudahan ini dengan sebaiknya serta tidak mencemar kawasan empangan. Kerjasama dan komitmen penduduk amat penting agar air dan sistem penyaluran air ini sentiasa baik,” tambah beliau lagi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan acara ‘Ngiling Bidai’ iaitu penutupan sambutan Gawai Dayak 2019. Lebih kurang 300  orang  hadir terdiri daripada penduduk Rh Baying dan Rh Kili serta penduduk berdekatan.

Tinggalkan komen anda