Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

PMR Tingkatkan Kebolehcapaian Maklumat Sahih

By 25 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Nornisah Khairoji (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Dalam era globalisasi dan maklumat di hujung jari ini, Pusat Maklumat Rakyat (PMR) masih memainkan peranan penting dalam menyampaikan serta menjelaskan dasar-dasar kerajaan pada peringkat akar umbi.

PMR merupakan pusat maklumat setempat melalui kombinasi informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Penerangan kepada orang ramai di setiap negeri dan daerah.

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menganjurkan Program Hari Terbuka PMR yang membolehkan orang ramai mengetahui serta mendapatkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan seperti edaran potret rasmi, poster serta risalah mengetengahkan inisiatif-inisiatif kerajaan serta khidmat penerangan mengenai inisiatif-inisiatif tersebut secara bersemuka di Wisma FGV, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Menurut Pengarah Penerangan WPKL Erwin Khairul Ahmad, melalui program ini secara tidak langsung Jabatan Penerangan meluaskan lagi jaringan hubungan strategiknya bersama jabatan/agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) sekitar ibu kota.

Pengunjung tapak pameran Jabatan Penerangan meneliti edaran bahan prinsip-prinsip Rukun Negara yang disediakan.

Pengunjung tapak pameran Jabatan Penerangan meneliti edaran bahan prinsip-prinsip Rukun Negara yang disediakan.

“Isu-isu tidak benar yang cepat tular dalam media sosial menjadi satu cabaran yang besar bagi Jabatan Penerangan, namun kami sentiasa berusaha memantapkan lagi cara penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat.

“Kami juga telah mengambil pendekatan turun padang menjelaskan isu-isu penting mengenai Tabung Haji dan Model Felda Baharu sambil mengedarkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur pada bulan Ramadan lalu,” jelas Erwin.

Erwin turut menjelaskan pertemuan sebegini dapat mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam memperjelaskan isu-isu semasa serta meningkatkan kebolehcapaian maklumat mengenai dasar yang diaspirasikan kerajaan dengan cara yang lebih berkesan.

“Walaupun platform media sosial menjadi pilihan ramai mendapatkan maklumat dengan lebih cepat tetapi kesahihan maklumat yang disebarkan tersebut masih tidak dapat dijamin sepenuhnya.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan yang mengetengahkan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam memenuhi kehendak rakyat.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan yang mengetengahkan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam memenuhi kehendak rakyat.

“Di sinilah peranan PMR sebagai penghubung antara pemimpin dan masyarakat dalam memperjelaskan perkara sebenar dengan menangkis fitnah dan tohmahan tidak bertanggungjawab bukan sahaja melalui laman jaringan sosial malah secara bersemuka dengan masyarakat,” ujarnya lagi.

Selain menjadi titik fokus maklumat, PMR WPKL turut menawarkan perkhidmatan internet percuma kepada orang ramai mendapatkan maklumat tepat dan lebih telus.

Antara agensi yang turut serta dalam Hari terbuka ini adalah Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) WPKL serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

-SH

Tinggalkan komen anda