Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Aktiviti Korek Pasir Risaukan Penduduk

By 24 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

KUNDANG, 24Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 penduduk perumahan Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri mengesa pihak berwajib memberi jaminan keselamatan rumah dan penduduk tidak terjejas ketika menyiapkan projek tadahan berjanjir di kawasan berhampiran.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Puteri, Joseph Anak Janting berkata walaupun pihaknya tidak membantah projek tadahan banjir itu namun aktiviti menyedut pasir yang semakin aktif sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan keselamatan.

“Pasir yang dikorek kini sudah membukit jadi penduduk ingin tahu kondisi bawah tanah, sama ada pengorekan pasir itu selamat dan tidak akan menyebabkan hakisan sehingga menjejaskan penduduk.

“Kami harap aktiviti pengorekan pasir ini dipantau. Sudah ada pemasangan papan tanda bagi proses jual beli pasir di sini, ia menyebabkan banyak lori keluar masuk ke kawasan tersebut,” katanya semasa sesi taklimat bersama kontraktor projek di Surau Al-Hidayah di sini, semalam.

Joseph menunjukkan kawasan projek tadahan banjir yang berhampiran dengan perumahan Desa Puteri.

Joseph menunjukkan kawasan projek tadahan banjir yang berhampiran dengan perumahan Desa Puteri.

Menurutnya, penduduk berharap supaya semua pihak terlibat dapat tampil memberikan taklimat status projek dan keadaan kondisi tanah memandangkan projek tersebut bersebelahan dengan kawasan perumahan itu.

“Mengikut spesifikasi dikeluarkan Jabatan Pengairan Selangor (JPS) dan kontraktor mematuhi standard namun penduduk mahu jaminan pihak berwajib sekiranya berlaku kesan yang menjejaskan mereka.

“Kami minta aspek keselamatan ini dikaji semula secara menyeluruh termasuk semasa aktiviti mengorek pasir ini dijalankan,” katanya.

Projek tadahan banjir itu merupakan projek menaik taraf anak Sungai Kuang di Bandar Baru Kundang bagi Rancangan Tebatan Banjir Fasa Satu bermula 16 Ogos 2017 hingga 14 Ogos 2019.

-NAZ

Tinggalkan komen anda