Skip to main content
Berita TempatanSabah

Industri Pelancongan Sabah Rekod Hasil Tertinggi Dalam Sejarah

By 27 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sherley Emjus/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Industri pelancongan Sabah pada tahun 2018 merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan kutipan hasil sebanyak RM8.342 bilion.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, melalui rekod Lembaga Pelancongan Sabah jumlah kedatangan pelancong turut mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3,879 juta pelancong.

Daripada jumlah itu, kedatangan pelancong telah meningkat sebanyak 5.3 peratus sepanjang 2018 dan hasil pelancongan turut meningkat 6.6 peratus berbanding hasil kutipan RM7.82 bilion pada 2017.

Christina ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23.

Christina ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23.

“Adalah menjadi harapan pihak Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah agar peningkatan seperti ini berterusan dari tahun ke tahun bagi menjana pendapatan negara serta menjadikan Sabah sebagai pusat destinasi pelancongan yang terkemuka bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23, pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah berkata, pihak kerajaan negeri amat gembira kerana Sabah dipilih sebagai tuan rumah dan majlis pelancaran sempena Hari Muzium Antarabangsa Kebangsaan kali ke-23.

Mengulas mengenai muzium, beliau menyatakan bahawa muzium ialah tempat yang sangat penting kepada orang ramai untuk memahami serta memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenai sejarah Malaysia dan negeri Sabah.

Christina juga berharap agar lebih ramai orang terutamanya golongan muda-mudi, pelajar serta ibu bapa akan datang ke muzium-muzium yang ada di Malaysia.

Beliau turut berharap agar kerjasama antara muzium melalui program-program seperti ini dapat mempromosikan kebudayaan, seni, adat, warisan, sejarah serta flora dan fauna negeri Sabah kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Christina (tengah) tertarik melihat logo Hari Muzium Antarabangsa ketika Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa ke-23 sambil disaksikan Humprey (kiri), Assaffal (dua dari kiri), Kamarul Baharin (tiga dari kiri), Wiliam (tiga dari kanan), Arif (dua dari kanan) dan Mariam (kanan).

Christina (tengah) tertarik melihat logo Hari Muzium Antarabangsa ketika Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa ke-23 sambil disaksikan Humprey (kiri), Assaffal (dua dari kiri), Kamarul Baharin (tiga dari kiri), Wiliam (tiga dari kanan), Arif (dua dari kanan) dan Mariam (kanan).

Tambahnya juga, terdapat banyak aktiviti yang menarik telah dirancang oleh Jabatan Muzium Negeri Sabah sempena dengan Hari Muzium Antarabangsa ini.

“Sebanyak 25 agensi daripada seluruh Malaysia yang akan datang ke Sabah dan dijangka seramai 300 kakitangan dan peserta akan berkunjung ke negeri di bawah bayu ini.

“Kita sangat mengalu-alukan kedatangan mereka dan berharap agar kempen-kempen yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assaffal P. Alian; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kassim; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Wiliam Baya; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Mariam Omar Matusin; Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd. Hamid serta Pengarah Urusan Suria Sabah Shopping Mall, Humprey Tan.

-EM

Tinggalkan komen anda