Skip to main content
Berita TempatanSabah

18 Mei Tarikh Istimewa Warga Muzium Dunia

By 27 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Idris Sani Saberun/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Tarikh 18 Mei merupakan tarikh yang amat istimewa bagi warga muzium di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kassim berkata, tarikh tersebut telah ditetapkan sebagai Hari Muzium Antarabangsa hasil resolusi Persidangan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) yang diadakan pada tahun 1977.

“Sejak itu, Hari Muzium Antarabangsa disambut di seluruh dunia dengan jumlah penyertaan muzium yang semakin bertambah saban tahun.

Kamarul ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23 bagi tahun 2019.

Kamarul ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23 bagi tahun 2019.

“Tahun 2018 mencatatkan rekod tertinggi dengan penglibatan lebih 36,000 buah muzium dari lebih 158 buah negara di seluruh dunia meraikan sambutan Hari Muzium Antarabangsa,” kata beliau.

“Di peringkat kebangsaan, sambutan Hari Muzium Antarabangsa membuktikan komitmen muzium untuk terus memperkasakan fungsi dan peranan institusi permuziuman negara setaraf dengan muzium-muzium ternama dunia.

“Muzium wajar bersiap sedia dalam mendepani masa depan yang semakin mencabar demi mengangkat martabat industri permuziuman negara.

“Pada tahun ini Muzium Negara akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Asian National Museum Association atau ringkasnya, ANMA yang buat julung kalinya di adakan di Malaysia.

“Saya melihat peluang ini sebagai suatu kesempatan yang sangat baik untuk muzium kita mengorak langkah yang lebih jauh ke arah globalisasi.

“Mudah-mudahan ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi merencana masa depan industri permuziuman negara yang lebih komprehensif dan berdaya saing,” jelas Kamarul.

Demikian juga, hubungan yang terjalin di antara komuniti muzium di dalam negara agar dapat terus diperkukuhkan.

Poster aktiviti Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Negeri Sabah kali ke-23 bagi tahun 2019.

Poster aktiviti Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Negeri Sabah kali ke-23 bagi tahun 2019.

Justeru, tradisi sambutan secara penggiliran di kalangan muzium di Malaysia yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia ini sebagai satu petunjuk yang sangat baik yang menandakan wujudnya kebersamaan yang erat di antara muzium-muzium yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23, pada Selasa.

Dalam dunia teknologi hari ini yang melangkaui jarak dan sempadan, institusi muzium tidak harus ketinggalan untuk mencipta pendekatan dan sasaran baharu yang berpotensi membuka ruang dan peluang yang lebih besar untuk muzium kekal relevan dalam cabaran masa hadapan.

Pada masa yang sama di sebalik kemajuan teknologi yang serba canggih itu, muzium juga harus mendekati kumpulan-kumpulan minoriti bagi melengkapkan khalayaknya yang pelbagai.

Untuk tujuan itu, muzium perlu bersedia untuk menerima sasaran kelompok baru ini dengan mencipta dan mempelbagaikan kaedah dalam menterjemah dan mempersembah koleksi mereka agar kekal relevan sebagai institusi yang mendukung warisan, sejarah dan budaya negara.

“Idea asas Penganjuran Hari Muzium Antarabangsa oleh ICOM adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan muzium dalam masyarakat.

“Oleh itu, penganjuran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan ini merupakan salah satu strategi untuk mendekati masyarakat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengenali muzium secara lebih dekat.

Poster aktiviti Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Negeri Sabah kali ke-23 bagi tahun 2019.

Poster aktiviti Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Negeri Sabah kali ke-23 bagi tahun 2019.

Tambahnya lagi, tema yang dipilih untuk sambutan Hari Muzium Antarabangsa pada tahun ini ialah “Muzium Sebagai Hab Kebudayaan: Kelangsungan Tradisi” (“Museums as Cultural Hubs: The future of tradition”).

“Selari dengan matlamat itu, pelbagai aktiviti khususnya yang melibatkan penyertaan bersama warga muzium dan orang ramai telah disusun.

“Antaranya Pameran Khas, Seminar Hari Muzium Antarabangsa, Bengkel, Muziumthon, Bicara Santai bersama Ustaz Kazim Elias, Program Muzium bersama Komuniti, Persembahan artis, cabutan bertuah, Heritage Treasure Hunt dan pelbagai lagi aktiviti lain yang akan diadakan sepanjang tempoh sambutan berlangsung,” jelas Kamarul.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assaffal P. Alian; Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd. Hamid dan Pengarah Urusan Suria Sabah Shopping Mall, Humprey Tan.

-EM

Tinggalkan komen anda