Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

JMG, KPLB Sabah Kerjasama Atasi Masalah Bekalan Air Bersih

By 22 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah untuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk kampung yang sering menghadapi masalah bekalan air, terutamanya di kawasan luar bandar.

Pengarah JMG Sabah Mohd Yusof Ramli berkata, usaha itu boleh dilaksanakan di bawah Projek Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih iaitu antara projek utama JMG Sabah.

Jelas beliau, melalui projek itu, JMG Sabah akan membuat siasatan tapak untuk menilai potensi sumber air bawah tanah sebelum membina telaga dan sistem penapisan air.

“Sumber air bawah tanah merupakan sumber air yang penting memandangkan permukaan air biasanya dipengaruhi keadaan cuaca.

Paulus Godwin, ketika membacakan teks ucapan Pengarah JMG Sabah.

Paulus Godwin, ketika membacakan teks ucapan Pengarah JMG Sabah.

“Oleh itu pada musim kemarau, air bawah tanah boleh diambil sebagai sumber alternatif bagi kegunaan penduduk kampung.

“Mengimbas kembali kejadian Gempa Bumi Kinabalu pada Jun 2015, akibat dari runtuhan di lereng Gunung Kinabalu mengakibatkan kejadian air sungai berlumpur dan berkelodak hingga menyebabkan air sukar untuk ditapis.

“Ianya masih berlaku setiap kali berlaku hujan lebat sehingga kini dan ini menyebabkan gangguan kepada bekalan air di Kota Belud.

“Oleh itu, sumber air bawah tanah boleh dijadikan sumber alternatif yang boleh dibangunkan untuk kegunaan penduduk terutamanya di kawasan yang belum mempunyai bekalan air bersih,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) Kg.Piasau, di Dewan Kampung Piasau, pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Pengarah JMG Sabah, Paulus Godwin.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Menurut Mohd Yusof, JMG Sabah juga akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain yang berkaitan untuk membangunkan sumber air bawah tanah di negeri ini melalui perkongsian maklumat, kepakaran dan teknikal pada masa akan datang.

Ewon ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan SPATR di Dewan Kampung Piasau.

Ewon ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan SPATR di Dewan Kampung Piasau.

“Kerjasama ini membolehkan kita membangunkan sumber air bawah tanah dijalankan dengan lebih sistematik dan bermanfaat kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, biasanya air dari telaga yang dibina oleh JMG Sabah hanya ditapis tetapi tidak dirawat dengan sebarang bahan kimia.

“Oleh itu air ini hendaklah dimasak terlebih dahulu sebelum digunakan sebagai air minuman. Sistem ini perlu diselenggara seminggu sekali bagi mengekalkan keberkesanan sistem penapisan.

“Saya berharap Pengerusi MPKK Kampung Piasau dapat menubuhkan satu Jawatan kuasa Telaga khusus untuk memantau dan menjaga operasi sistem telaga dan penapisan SPATR,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihak JMG Sabah mendapat banyak permohonan untuk membina telaga tiub tetapi memandangkan kos untuk eksplorasi dan pembangunan air bawah tanah yang agak tinggi maka hanya kawasan yang benar-benar memerlukan serta dikenal pasti mempunyai potensi air bawah tanah akan diberikan keutamaan.

Katanya lagi, beberapa projek lain yang dijalankan oleh jabatan di Kota Belud adalah pemetaan bahaya risiko cerun bertujuan untuk memetakan kawasan-kawasan yang mempunyai kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

“Selain itu, Projek Pembangunan dan Pemuliharaan Sumber Warisan Geologi Negara: Aspiring Kinabalu Geopark pula dijalankan bagi memastikan khazanah alam semulajadi terutamanya yang berkaitan dengan geologi dapat dipulihara bagi tatapan generasi akan datang.

Ewon (kanan) dan Jimmy membuka paip sebagai simbolik perasmian Telaga dan Sistem Penapisan Air Kg.Piasau.

Ewon (kanan) dan Jimmy membuka paip sebagai simbolik perasmian Telaga dan Sistem Penapisan Air Kampung Piasau.

“Pencirian warisan geologi dijalankan di tapak-tapak terpilih bagi cadangan dan penarafan sama ada sebagai geotapak, tapak warisan geologi kebangsaan atau geopark,” katanya.

Telaga dan sistem penapisan air di Kampung Piasau akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk.

Pembinaan telaga itu dimulakan pada September tahun lalu manakala sistem penapisan SPATR siap sepenuhnya pada Mac 2019, dengan anggaran kos RM60,000 termasuk kos kajian potensi sumber air tanah, pembinaan telaga dan pemasangan sistem penapisan SPATR.

-EM

Tinggalkan komen anda