Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Kadar Kebolehpasaran Lulusan Politeknik dan Kolej Komuniti Meningkat

By 14 Jun 2019Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Kadar kebolehpasaran lulusan politeknik dan kolej komuniti meningkat kira-kira 30 peratus dalam tempoh 10 tahun sehingga hujung tahun lepas.

Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Amalulkhair Sarbini berkata, bagi politeknik, kadar kebolehpasaran meningkat kepada 96.1 peratus pada tahun lalu berbanding 67.1 peratus pada 2008 manakala bagi kolej komuniti, ia meningkat kepada 96.5 peratus tahun lalu berbanding 61.3 peratus pada tempoh sama.

Katanya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di politeknik mula diperkenalkan di negara ini melalui politeknik pertama, Politeknik Ungku Omar Ipoh di bawah Pelan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1969 dan telah diperkukuhkan dengan perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan pada 1979 dan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan pertama (1985-1995).

“Kesemua perancangan termasuk perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai latihan pada 1991 telah membolehkan penubuhan lebih banyak politeknik serta menambah program pengajian bagi bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan,” katanya dalam program Nine-11, Bernama News Channel di sini semalam.

Amalulkhair berkata politeknik dan kolej komuniti diwujudkan di seluruh negara bagi memberi ruang khusus kepada pelajar lepasan menengah untuk mengikuti pelajaran pada peringkat pengajian tinggi dalam bidang teknikal.

“Kita mempunyai 36 politeknik di seluruh negara yang menawarkan tujuh program peringkat sarjana muda, 71 program diploma, dua program pradiploma dan lima program sijil kemahiran untuk pelajar ketidakupayaan pendengaran.

“Kita juga mempunyai 102 kolej komuniti yang menawarkan 50 program peringkat sijil dan 16 program diploma,” katanya. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda