Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Tiada Lesen Memandu Kesalahan Utama Dalam Op HRA 2019 di Ibu Negara

By 14 Jun 2019Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Tiada lesen memandu merupakan kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya di ibu negara sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, dilaksanakan sejak 29 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Zamakhshari Hanipah berkata sebanyak 2,405 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan, termasuklah 44 peratus atau 1,056 saman atas kesalahan tiada lesen memandu.

“Sebanyak 21 daripada 1,176 kenderaan yang diperiksa dalam tempoh itu telah disita atas pelbagai kesalahan…. malah setakat pukul 10 malam tadi sahaja, sebanyak 12 kenderaan disita dan 270 saman dikeluarkan.

“Selain itu, 15 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen, kerana tidak mempunyai pasport serta dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita pada operasi bersepadu HRA 2019 di Stesen Transit Aliran Ringan Bangsar di sini.

Operasi yang bermula 8 malam itu disertai 70 anggota JPJ Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda