Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SMK Tawau Wakil Sabah Pertandingan Forum Remaja ke Peringkat Kebangsaan

By 20 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Eviannie Kin/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau dinobat Johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri seterusnya mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada 24 hingga 26 Julai nanti.

Mohammad (lima dari kanan) menyampaikan piala pusingan Ketua Menteri kepada guru pengiring SMK Tawau.

Mohammad (lima dari kanan) menyampaikan piala pusingan Ketua Menteri kepada guru pengiring SMK Tawau.

Mereka membawa balik hadiah berupa Piala Pusingan Ketua Menteri, piala iringan, wang tunai RM150 setiap seorang, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta sijil.

Memilih tajuk forum ‘Penderaan Kanak-kanak di Mana Noktahnya’ menerusi persembahan bersahaja dan interaksi aktif dengan audiens, melayakkan mereka ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di DBP Kuala Lumpur.

Siti Rahmah dianugerahkan Ahli Panel Forum Terbaik

Siti Rahmah dianugerahkan Ahli Panel Forum Terbaik

Sementara itu, dua peserta SMK Tawau iaitu Siti Rahmah Bagis dan Mohammad Noor Aiman Hassanuddin masing-masing dianugerahkan Ahli Panel Forum Terbaik dan Pengerusi Terbaik.

Naib johan pula dimenangi Kolej Tingkatan Enam Datuk Pangiran Galpam, Sandakan dengan hadiah piala iringan, wang tunai RM130 setiap peserta, buku terbitan DBP dan sijil.

Kolej Tingkatan Enam Datuk Pangiran Galpam, Sandakan yang menduduki tempat kedua merakam gambar selepas menerima hadiah.

Kolej Tingkatan Enam Datuk Pangiran Galpam, Sandakan yang menduduki tempat kedua merakam gambar selepas menerima hadiah.

Manakala, SMK Agaseh Lahad Datu yang mendapat tempat ketiga juga menerima piala iringan, wang tunai RM110 setiap peserta, buku terbitan DBP dan sijil.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Mohamarin sempena Pertandingan Ko-Akademik Bahasa Melayu DBP-KPM 2019 Peringkat Sabah (Forum Remaja, Sahibba, Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair) di Kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN Sabah), pada Khamis.

Tempat ketiga, SMK Agaseh Lahad Datu bergambar kenangan bersama dengan para tetamu kehormat.

Tempat ketiga, SMK Agaseh Lahad Datu bergambar kenangan bersama dengan para tetamu kehormat.

Ketika berucap merasmikan majlis tersebut, Mohammad yang mewakili Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata pertandingan sedemikian menunjukkan iltizam semua pihak untuk bersama-sama memperkasa dan memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Ini memberikan kesedaran kepada anak bangsa bahawa bahasa kebangsaan sangat penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

Para peserta Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu DBP-KPM 2019 Peringkat Sabah (Forum Remaja, Sahibba, Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair merakam kenangan bersama.

Para peserta Pertandingan Ko-akademik Bahasa Melayu DBP-KPM 2019 Peringkat Sabah (Forum Remaja, Sahibba, Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair merakam kenangan bersama.

“Malah, kita juga mengharapkan penglibatan para pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti seperti ini kerana kita percaya para pelajar bukan Melayu juga mahu bersama-sama memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan kita,” kata beliau pada majlis yang turut dihadiri Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar.

Tambahnya, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak yang menjayakan pertandingan berkenaan adalah antara bukti usaha untuk memperkukuh kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan.

-EM

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda