Skip to main content
Berita TempatanSabah

50 peratus Penglibatan Wanita Dalam Pentadbiran Kerajaan

By 14 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)

SIPITANG, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Penglibatan wanita perlu ditingkatkan menjadi 50 peratus dalam pentadbiran kerajaan pada masa akan datang.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, berkata tidak mustahil peranan wanita dalam kerajaan akan ditingkatkan 30 peratus dari kuota sedia ada pada masa akan datang.

“Kita menggalakkan wanita sebagai komponen masyarakat untuk terlibat secara langsung bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi juga bidang politik, pengurusan kerajaan sebagai pembuat keputusan, syarikat swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Perlu diingat, mereka dilantik bukan disebabkan kuota wanita tetapi atas sebab kebolehan, kecekapan dan keupayaan mereka.

“Kemampuan wanita sebagai pemimpin tidak dapat disangkal lagi kerana Presiden, Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat besar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga dilantik dari kalangan wanita,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof turut menyeru golongan wanita untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengalaman bagi menjalankan tanggungjawab yang bakal dipikul.

“Pengalaman dan pendedahan boleh diperoleh melalui penglibatan bersama NGO atau aktiviti politik bagi sama-sama membangunkan negara.

“Contohnya, pada masa sekarang kita melantik 18 Ahli Majlis Daerah di mana dua orang daripadanya adalah wanita dan kita berhasrat untuk menambah lagi jumlah ini,” ujarnya kepada pemberita.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.28 Sindumin turut menyeru NGO untuk memajukan golongan wanita melalui aktiviti-aktiviti anjuran mereka.

“Pihak NGO perlulah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang mempunyai unsur-unsur pendidikan dan menambah ilmu pengetahuan dalam setiap program yang dijalankan.

“Sebagai contoh, mereka boleh mengadakan aktiviti mengenai bidang digital atau kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris agar setiap wanita khususnya di daerah ini dapat menguasainya,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Luncheon Appreciation Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Sipitang di Dewan Serbaguna, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 13 agensi dan jabatan kerajaan diberi penghargaan atas sokongan kepada setiap program anjuran PUSPANITA, Persatuan Usahawan Wanita Sipitang, Persatuan Ibu Tunggal dan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah.

Turut hadir, Pengerusi Puspanita Negeri Sabah Datin Seri Panglima A’zah Ismail, Pengarah JHEWA Sabah Mastura Jamrah dan Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah.

-SH

Tinggalkan komen anda