Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pelaksanaan GRP Tingkat Penyampaian Perkhidmatan – Jaujan

By 14 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norliza Yusof/Vicky Matanjang (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (GRP) mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Berlesen dan Agensi Pengawal Selia.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong, berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam meneroka kaedah baharu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan untuk masyarakat.

“Pelaksanaan GRP ini dilihat berupaya menambah baik pentadbiran negeri, merapatkan jurang sistem pengurusan serta memastikan peraturan-peraturan yang membebankan masyarakat dan komuniti perniagaan dapat dikurangkan.

“Inisiatif ini juga mampu meningkatkan ketelusan serta kredibiliti penggubal undang-undang selain dapat meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik,” katanya dalam Forum Amalan Baik Peraturan (GRP) dan Majlis Penyerahan serta Pelancaran Panduan Permohonan dan Peraturan Perlesenan Perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan, di sini baru-baru ini.

Jaujan semasa menyampaikan ucapan perasmiaan.

Jaujan semasa menyampaikan ucapan perasmiaan.

Dalam pada itu, beliau berharap pengenalan GRP dapat menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dengan menarik minat pemain industri dan pelabur seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Sebanyak Enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat dalam projek rintis pembangunan garis panduan dan manual kelulusan lesen iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Tawau, Sandakan, Sipitang, Putatan dan Penampang.

Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah penyerahan Garis Panduan Permohonan dan Manual Kelulusan Lesen Operasi kepada 25 PBT.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah George Hiew, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masnah Matsalleh dan Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman.

-SH

Tinggalkan komen anda