Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pancaragam Kampung Bukti Kemampuan

By 14 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (SIK)

SIK, 14 Jul (Malayaiaaktif) – Pasukan Pianica daripada Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM), Sik mencatatkan rekod cemerlang selepas diumumkan sebagai johan bagi kategori sekolah rendah mengetepikan cabaran pasukan lain dalam Pertandingan Pancaragam Antarabangsa dan Kebangsaan (NATCOMP) 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini semalam.

Menurut Guru Besar SKSAM Abdul Rahim Abdul Rashid, sebelum ini Pianica pernah diundang untuk membuat persembahan di dalam pertandingan yang sama sekitar tahun 2013 di Kuala Lumpur.

“Kami pernah diundang bagi membuat persembahan di NATCOMP kira-kira enam tahun yang lalu. Tetapi pada ketika itu, tidak dipertandingkan kategori sekolah rendah.

Pianica band berjaya mencuri tumpuan hampir 500 penonton yang hadir.

Pianica band berjaya mencuri tumpuan hampir 500 penonton yang hadir.

“Jadi, pada kali ini apabila mendapat peluang untuk turut serta bertanding, kami tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, apatah lagi bukan calang-calang pasukan yang bertanding dalam pertandingan ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ternyata penyertaan Pianica membuahkan hasil apabila pasukan itu bukan saja merangkul gelaran juara bahkan turut mengungguli kategori Uniform Terbaik dan Drum Major Terbaik.

Mengimbas kembali penubuhan pasukan pancaragam ini, Abdul Rahim menjelaskan ia mula ditubuhkan sekitar tahun 2004.

“Sudah tiga tahun berturut-turut bermula pada 2016 hingga 2018, Pianica diundang bagi membuat persembahan mengiringi kontinjen-kontinjen perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah.

“Ianya merupakan satu penghargaan kepada kumpulan ini dan saya berbangga kerana Pianica membawa bersama nama sekolah kami,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara pencapaian terbaik Pianica adalah Persediaan Pancaragam Terbaik serta Drum Major Terbaik Pertandingan Pancaragam Peringkat Negeri Kedah.

“Walaupun berada di luar bandar, namun ia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menonjolkan kemampuan serta berjaya dan menyerlah di pentas antarabangsa,” ujarnya mengakhiri perbualan.

-SH

Tinggalkan komen anda