Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Fenomena Raja Buah Lonjak Sektor Pelancongan Negara

By 8 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Nurul Wahida Mohamad Noor (Seberang Perai Tengah) 

PERMATANG PAUH, 7 Julai (Malaysiaaktif) – Program Penang Durian Fest 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang merupakan hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama FAMA, Jabatan Pertanian dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai di Perkarangan Tapak Ekspo Seberang Jaya kelmarin.

Seramai 20,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari program ini berlangsung bermula dari 5 hingga 7 Julai 2019. Pengemar-penggemar durian tidak melepaskan peluang untuk menikmati durian dengan harga istimewa di mana pengunjung ditawarkan potongan istimewa 20% hingga 30% bagi durian yang terpilih. Turut diadakan ‘happy hour’ di mana pengunjung yang bertuah akan diberikan durian secara percuma.

Acara bermula dengan perasmian oleh Yang Berhormat Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani dalam ucapannya memaklumkan bahawa mulai tahun ini pengeluaran hasil durian meningkat dan menyebabkan harga durian semakin stabil jika dibandingkan daripada tahun-tahun lepas.

Gimik Perasmian disempurnakan oleh YB Dr Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani

Gimik Perasmian disempurnakan oleh YB Dr Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani

Durian merupakan satu fenomena yang turut melonjakkan industri pelancongan Negeri Pulau Pinang. Atas inisiatif ini, pihak Jabatan Pertanian telah mengeluarkan buku panduan yang mengadungi pelbagai maklumat serta jenis-jenis durian dan juga ‘Durian Maps’ bagi memudahkan pelancong-pelancong untuk mengenalpasti lokasi durian khususnya produk durian di Pulau Pinang.

Malah Dr Afif memaklumkan bahawa, fasa pertama buah durian ke pasaran antarabangsa ke Negara China telah berjaya di mana sebelum ini negara kita, Malaysia hanya diberikan kebenaran mengeksport ulas buah durian sahaja namun pada kali ini Negara diberikan kebenaran untuk mengeksport secara biji dalam kuantiti yang banyak. Ini merupakan satu pencapaian yang mampu meletakkan buah Durian keluaran Negara setanding dengan buah-buahan yang lain.

Usaha promosi ini dapat membantu bagi mengembangkan hasil keluaran dan meningkatkan permintaan buah durian daripada Negeri Pulau Pinang. Beliau juga turut menyeru masyarakat membantu untuk mempromosi durian Negeri Pulau Pinang ke pasaran Luar.

Selain itu, menurut Yang Berbahagia Encik Kamarul Haizal bin Koderat, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah menyatakan bahawa musim buah durian ini telah menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai hub pelancongan. Sepanjang program berlangsung turut dianjurkan Pertandingan Durian Klon Terbaik, Produk Inovasi Berasaskan Durian dan Juara Antara Juara di mana 116 penyertaan secara keseluruhan.

Ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan mutu dan nilai tambah kepada jenis durian sebagai satu langkah promosi dan juga membantu usahawan durian serta melahirkan pelbagai produk inovasi yang berkualiti antaranya popsical, dodol durian, sos durian, kek durian, kopi durian dan sebagainya.

Haji Jameel Hussain, yang merupakan salah seorang pengunjung menyatakan keterujaan beliau dan memuji tindakan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap program ini dapat diteruskan lagi.

Turut hadir bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Farizan bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Tuan Azman bin Nasrudin, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Negeri Kedah,

Yang Berhormat Dr. Norlela Ariffin , Adun Penanti dan ketua-ketua jabatan.

Tinggalkan komen anda