Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hanya 22% daripada 32 Juta Rakyat Malaysia Buat Perancangan Sebelum Bersara – Gobind

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Golongan pesara disaran menggunakan tempoh persaraan dengan bermakna, samada bersama keluarga, menggiatkan diri menyertai persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan dengan aktiviti-aktiviti yang memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Gobind Singh Deo, menjelaskan alam persaraan merupakan satu proses perjalanan hidup yang akan ditempuhi dalam jangka hayat seseorang yang menandakan misi seseorang memberi khidmat dan sumbangan dalam kerjaya demi bangsa dan negara telah sampai ke satu penghujung.

“Usia bukanlah penghalang kepada seseorang untuk melibatkan diri dalam rangkaian sosial yang baharu. pesara boleh menjadi perantara mempromosikan program dan aktiviti kementerian bagi meningkatkan kemahiran dan ekonomi rakyat seperti program e-usahawan, e-rezeki, dan mymaker. Ini juga salah satu cara sumbangan kepada masyarakat dan negara.

“Sekiranya berminat, golongan pesara boleh mendaftar menjadi ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat, satu program inisiatif bercorak outreach dan pembangunan untuk warga tua,” katanya ketika merasmikan Majlis Jasamu Dikenang meraikan warga kementeriannya yang bersara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gobind turut menyeru kepada semua pesara agar merancang kewangan keluarga dengan baik.

“Purata jangka hayat manusia adalah 75 tahun di mana lelaki 73 tahun dan perempuan 77 tahun, oleh itu perancangan kewangan bagi pesara di Malaysia amat penting, di mana kajian oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan bahawa kebanyakan pesara samada kumpulan professional atau bukan professional, kekurangan pengetahuan perancangan kewangan.

“Ini menyebabkan kekurangan wang selepas persaraan. Mengikut data KWSP pada tahun 2016, hanya 22% daripada 32 juta rakyat Malaysia membuat perancangan sebelum bersara,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda