Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kelab Malaysiaku Kuala Krai Timba Pengalaman Menelusuri Sungai Kelantan

By 23 Julai 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 23 Jul ( Malaysiaaktif ) – Jauh perjalanan, luas pemandangan, itulah pengalaman berharga yang dirasai oleh guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman Hulu Kelantan dengan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan ke sekolah demi tugas mendidik anak bangsa.

Sungai Kelantan adalah cantuman tiga sungai dari hulu Kelantan iaitu Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir dan membentuk sungai besar dan dikenali sebagai Sungai Kelantan yang bermula di Kuala Krai seterusnya menghala ke hilir hingga ke muara Kuala Besar di Tumpat.

Sungai ini menjadi kaedah perhubungan utama dari Kota Bharu ke hulu Kelantan seperti Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang pada era 70-an.

Di Kuala Krai terdapat beberapa sekolah yang berada di seberang Sungai Kelantan iaitu Sekolah Kebangsaan Bahagia, Sekolah Kebangsaan Pasir Kelang dan Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) Saadatul Qura.

Kampung Bahagia yang terletak di seberang pesisir Sungai Kelantan yang menghala ke Dabong merupakan satu penempatan terpencil dan hanya boleh diakses melalui sungai sahaja.

Bagi merasai sendiri pengalaman ke Kampung Bahagia, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai telah mengadakan Program Kembara Kelab Malaysiaku yang melibatkan 5 sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai, Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkebang.

Semangat gotong-royong antara aktiviti program

Semangat gotong-royong antara aktiviti program

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai, Mohd Rozali Isa, 59, program ini diadakan bagi memberi pengalaman baru kepada Ahli Kelab Malaysiaku dan Guru-Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Daerah Kuala Krai.

“Program Kembara Kelab Malaysiaku kali ini kami buat lain dari yang lain dengan membawa ahli kelab berserta guru-guru penyelaras kelab menaiki ‘Bot Galah’ ke Kampung Bahagia dan mereka ternyata sangat teruja untuk mengikuti program ini,” ujar Mohd Rozali.

Program ini mencetuskan minat wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai untuk sama-sama menyertai bagi merasai sendiri pengalaman menaiki bot galah dan mengahayati cabaran yang dilalui para guru ke sekolah.

Menurut Mohd Rozali lagi, β€œselain memberi pengalaman menaiki Bot Galah, kami juga fokus kepada aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan selain mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat.”

“Antara pengisian program adalah setibanya kami di Jeti Kampung Bahagia, kami berjalan kaki sepanjang 1 kilometer untuk ke Sekolah Kebangsaan Bahagia. Ini sebagai pendedahan agar menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti sihat.”

Apabila tiba di Sekolah Kebangsaan Bahagia, rombongan kembara telah disambut oleh guru besar dan warga sekolah.

“Turut diadakan juga majlis ucapan dan program kenegaraan seperti ceramah Kemerdekaan, nyanyian lagu Negaraku , Jalur Gemilang dan lagu Warisan sambil mengibarkan jalur gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik dikalangan pelajar β€œ, tambah Mohd Rozali lagi.

Guru besar SK Bahagia, Mohd Azmi Yaakob, 50, berkata, pihak sekolah berasa cukup bertuah kerana dikunjungi oleh rombongan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai, guru-guru penyelaras Kelab Malaysiaku dan ahli-ahli Kelab Malaysiaku daerah Kuala Krai.

“Anda semua boleh merasai sendiri pengalaman datang ke Kampung Bahagia dan inilah yang guru-guru di sini merasainya setiap hari.

“Pengalaman datang dan pulang ke sekolah setiap hari untuk menjalankan tugas dan amanah dengan menaiki bot galah selama 45 minit sehala memberi pengalaman berharga buat kami terutama ketika musim panas dan tengkujuh,β€œ katanya ketika menyampaikan ucapan.

Nurul Izzah Hasme Zam, 16, salah seorang ahli Kelab Malaysiaku dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 2, berkata inilah kali pertama beliau dan rakan-rakan yang lain menaiki bot galah dan ianya memberi pengalaman menyeronokkan kepada mereka.

Peserta tiba di perkarangan Masjid Kg Bahagia

Peserta tiba di perkarangan Masjid Kg Bahagia

“Walaupun Kampung Bahagia berada dalam daerah Kuala Krai, tetapi inilah kali pertama saya menjejak kaki ke kampung ini. Jika tiada program sebegini, saya dan rakan-rakan yang lain mungkin tiada peluang langsung untuk ke sini,” uarnya ketika ditemubual Malaysiaaktif.

Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh, Norudin Abdul Rahim, 40, aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan memberi pendedahan berguna kepada pelajar sekolah dalam melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Aktiviti khidmat masyarakat ini mampu memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya amalan menjaga kebersihan. Selain itu, program sebegini juga sedikit sebanyak mengeratkan silaturrahim di kalangan kami dengan masyarakat di sini,” tambah beliau lagi.

“Program sebegini sangat memberi manfaat dan pengalaman berharga buat kami dan ianya perlu diteruskan. Pengalaman mengikuti program ini, walaupun memenatkan tetapi ianya sangat menyeronokkan dan rata-rata ahli kelab sangat berpuas hati dengan aktiviti outdoor sebegini ditambah pula dengan layanan istimewa yang diberikan oleh pihak sekolah terutamanya guru besarnya yang begitu komited melayan kunjungan kami,” kata Norudin mengakhiri perbualan.

– NAZ

Tinggalkan komen anda