Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

I Care For You Bantu 53 Pelajar Ahli Isi Rumah eKasih

By 25 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Siti Meriam Mohamad (Kelantan)

KOTA BHARU, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 53 orang pelajar daripada keluarga senarai eKasih dari Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh I, Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh II, Sekolah Kebangsaan Che Latiff dan Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur Kota Bharu telah menerima sumbangan basikal sempena Program I Care For You pada hari ini.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh II ini merupakan anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, ICU JPM dengan usaha sama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN).

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Amir Zakri Mahmad Mayhidin, dalam ucapannya berkata program ini digerakkan bersama badan-badan korporat, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diberikan sampai secara terus kepada mereka yang layak sahaja iaitu golongan miskin dan miskin tegar dalam data eKasih Negeri Kelantan.

Amir Zakri Mahmad Mahyidin, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan menyampaikan basikal kepada penerima

Amir Zakri Mahmad Mahyidin, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan menyampaikan basikal kepada penerima

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) kerana banyak memberi sokongan seperti membekalkan basikal kepada pelajar-pelajar yang layak dan berharap sumbangan basikal ini dapat membantu memudahkan perjalanan para pelajar untuk berulang-alik ke sekolah nanti,” tambahnya lagi.

Azmi Mat Yusoff, 56, bapa kepada pelajar yang menerima sumbangan basikal hari ini memanjatkan rasa syukur kerana ini merupakan pertama kali beliau dan keluarga menerima bantuan daripada eKasih.

“Dengan sumbangan seumpama ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hidup saya sekeluarga di mana saya harus menyara anak seramai lima orang dan hanya berpendapatan cukup makan sahaja sebagai seorang tukang kebun,” kata Azmi Mat Yusoff.

Azmi Mat Yusoff bersama anaknya Muhamad Amar

Azmi Mat Yusoff bersama anaknya Muhamad Amar

“Saya juga turut menerima bantuan di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 dan telah menikmati kemudahan ini sejak 3 bulan yang lepas,” tambahnya lagi.

“Sebelum ini ayah yang hantar saya ke sekolah setiap hari dengan motorsikal, tapi selepas menerima basikal hari ini saya sudah boleh ke sekolah sendiri,” kata Muhamad Amar Azmi, 9, dari Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh I.

Wan Nurul Norjuliana Suhaimi, 33, dari Kampung Kedai Buloh Tok Panjang yang juga merupakan penerima eKasih, i-Suri dan Program Rebat Bil Elektrik RM40 berkata banyak inisiatif yang diberikan oleh kerajaan sekarang ini dapat meringankan beban dan kos sara hidup kami sekeluarga.

“Dengan penyampaian sumbangan basikal hari ini, diharap dapat menyuntik semangat anak saya untuk lebih rajin ke sekolah,” tambahnya lagi.

Elieya Qisha Salsabila Zahari, 7, dari Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh II berkata beliau amat gembira pada hari ini kerana dapat basikal dan berjanji akan rajin ke sekolah untuk jadi orang yang berjaya dapat membantu kehidupan keluarga nanti.

Turut hadir ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh II, Zaiton Che Wil dan Ketua Jabatan Microtakaful dan Tanggungjawab Sosial (CSR) Prudential BSN Takaful Bank Simpanan Nasional, Hilmy Darmin Ab Rahman.

-NAZ

Tinggalkan komen anda