Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jalinan Kasih, Peluang Banduan Bertemu Keluarga

By 3 Julai 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Shamsir/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Linangan air mata tampak menghiasi wajah para penghuni tirai besi, saat melihat ketibaan insan tersayang menghampiri mereka pagi itu.

Tidak kurang juga kelihatan anak-anak kecil berlari memeluk ibu mereka bagi melepaskan rindu yang lama terpendam.

Begitulah suasana hiba yang dapat dirasai ketika menghadiri program Jalinan Kasih (JK) bagi Sambutan Pesta Kaamatan, Hari Raya, Hari Wesak dan Hari Ibu Bapa Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK), 2019.

Suasana sayu lagu Air Mata Syawal didendangkan salah seorang banduan sambil seorang ibu dan penghuni penjara berpelukan melepaskan rindu

Suasana sayu lagu Air Mata Syawal didendangkan salah seorang banduan sambil seorang ibu dan penghuni penjara berpelukan melepaskan rindu

Program JK merupakan aktiviti tahunan anjuran PWKK yang dilakukan bagi memberi peluang kepada penghuni bertemu dengan keluarga secara bersemuka.

Namun begitu, menurut Pengarah PWKK, Noorneelah Shukor, hanya penghuni yang telah melepasi tapisan sahaja yang akan mendapat peluang ini.

Norneelah Shukor.

Norneelah Shukor.

“Beberapa syarat perlu dipatuhi seperti warganegara Malaysia, mempunyai baki hukuman tiga tahun maksima atau kurang dan tidak menerima sebarang tindakan disiplin dalam tempoh enam bulan sebelum pemilihan.

“Antara keperluan lain pula adalah mendapat 90 peratus markah bagi ujian penilaian yang diadakan,” kongsinya kepada media.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Tambah beliau, program seumpama ini diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara penghuni dengan keluarga dan menghilangkan perasaan tersisih apabila bergelar banduan.

“Mereka perlu faham bahawa walaupun mereka berhadapan dengan hukuman penjara, mereka tidak dilupakan oleh ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Sungguh kasih seorang ibu tiada penghujungnya. Hingga ke akhir nyawa, anak sentiasa dalam doa dan fikiran seorang ibu.

Suasana ketibaan ahli keluarga penghuni penjara disambut dengan tangisan kerinduan dan kesyukuran

Suasana ketibaan ahli keluarga penghuni penjara disambut dengan tangisan kerinduan dan kesyukuran

Sayu dan sebak memenuhi ruang kamar dalam sesi temu bual Masnah Manjun (bukan nama sebenar), 56, berasal dari Membakut dan anaknya Siti Salmah (bukan nama sebenar), 35, yang ditahan sejak hujung tahun lalu.

“Saya berterima kasih kepada pihak penjara kerana menganjurkan program seumpama ini dan membolehkan saya bertemu dengan anak.

“Tiada kata untuk saya gambarkan rindu yang terpendam bukan saya sahaja, malah cucu sering mengungkapkan rindu dan ingin bertemu ibunya,” kongsinya yang hadir bersama seorang cucu ke majlis tersebut.

Salmah (kiri) memberikan kata-kata nasihat dan semangat buat anaknya yang sudah lama tidak bertemu.

Salmah (kiri) memberikan kata-kata nasihat dan semangat buat anaknya yang sudah lama tidak bertemu.

Sementara media menemu bual Masnah, kami memerhati Salmah menasihati anaknya agar tidak bersedih dan fokus kepada pembelajaran tanpa menghiraukan sekiranya ada anak-anak lain yang mempersendakannya.

“Berada di sini, saya mempelajari banyak perkara seperti lebih mendekatkan diri dengan agama, kaunseling yang mengubah cara pemikiran menjadi lebih tenang dan positif serta bengkel kemahiran yang boleh diaplikasikan apabila keluar kelak.

Katherine (kiri) dan Norneelah (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan menyanyi.

Katherine (kiri) dan Norneelah (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan menyanyi.

“Selain itu, para pegawai dan warden juga menjaga kami dengan baik. Bukan sahaja daripada aspek kebajikan tetapi kami seperti sebuah keluarga besar.

“Namun begitu, memang saya tidak sabar untuk dibebaskan kerana rindu dengan keluarga dan anak,” katanya dengan linangan air mata.

Menurut Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara (LHP), Datuk Katherine Lee Mei Oi ketika ditemui media selepas program itu berakhir, sistem penjara yang lebih kepada pemulihan membuatkan para penghuni penjara merasa terdapat peluang kedua bagi mereka memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.

SUASANA... sekitar program JK, hidangan makanan bermasak dan kuih raya yang disediakan oleh para penghuni PWKK.

SUASANA… sekitar program JK, hidangan makanan bermasak dan kuih raya yang disediakan oleh para penghuni PWKK.

“Hukuman tahanan dan denda semata boleh menyebabkan penghuni menjadi lebih buruk daripada sebelum dipenjarakan.

“Kebanyakan penghuni di sini daripada latar belakang yang kurang bernasib baik. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan perhatian dari masyarakat untuk membantu memberi harapan dan peluang bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan kelak.

“Dalam pada itu, program pemulihan juga menyediakan latihan kemahiran seperti memasak, membuat pastri, menjahit, muzik dan seni yang dapat membantu mereka apabila dibebaskan kelak,” kongsinya.

Saat pertemuan bersama keluarga yang datang melawat

Saat pertemuan bersama keluarga yang datang melawat

Katherine turut menyeru agar orang ramai prihatin dalam membantu bekas banduan yang telah berubah dan elak mendiskriminasi mereka atas kesalahan lampau.

Pada program JK kali ini, empat perayaan digabungkan sekali bagi memberi peluang kepada penghuni penjara merasai kemeriahannya.

Antara acara yang berlangsung adalah pertandingan menyanyi, pertandingan memperagakan pakaian tradisional Pesta Kaamatan (Unduk Ngadau) dan pertandingan mendandan.

Selain itu, lauk-pauk serta kuih raya juga disediakan sendiri oleh para penghuni PWKK untuk dihidangkan kepada para tetamu dan ibu bapa serta ahli keluarga yang hadir.

-EM

Tinggalkan komen anda