Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Kolej Komuniti Ke Arah Pembangunan Modal Insan Berasaskan Kemahiran

By 23 Julai 2019Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/foto: Sahiman Rahman/ Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)

TAMBUNAN, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Malaysia komited melaksanakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Ia di laksanakan dengan meletakkan program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setaraf dengan program akademik serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat di peringkat kebangsaan.

Pelan Pendidikan ini adalah selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) bagi menghasilkan graduan seimbang, tambahan pula Malaysia adalah antara yang terbaik mengadaptasikan Industri 4.0 dalam bidang pendidikan negara. 

Dalam konteks ini, Kolej Komuniti bertindak mengubah minda masyarakat dalam menghadapi Industri 4.0 dengan menekankan pendidikan berasaskan kemahiran.

Shafie ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kampus Kolej Komuniti Tambunan.

Shafie ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kampus Kolej Komuniti Tambunan.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti adalah sebuah jabatan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana Kolej Komuniti telah bermula sejak tahun 2001 dengan penubuhan sebanyak 12 Kolej Komuniti Rintis. 

Pada hari ini, terdapat 103 buah Kolej Komuniti di seluruh Malaysia yang menawarkan Program-Program Diploma, Sijil Kolej Komuniti dan kursus-kursus pendek kemahiran kepada komuniti, sesuai dengan fungsinya sebagai institusi TVET. 

Kolej Komuniti adalah hab Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk semua lapisan masyarakat dengan kos yuran pengajian serendah RM200 setiap semester dan RM5.00 untuk kursus pendek bertempoh 5 jam.

Pembinaan Politeknik dan khususnya Kolej Komuniti di seluruh negara merentasi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman membuktikan komitmen kerajaan meningkatkan akses dan ekuiti terhadap pendidikan. 

Akses pendidikan yang meluas ini memastikan kesaksamaan dalam menikmati pendidikan khususnya pendidikan dan TVET oleh setiap rakyat negara ini.

Sabah juga tidak terpinggir dalam usaha pemerkasaan TVET Malaysia dan ini dizahirkan melalui penubuhan lapan (8) buah Kolej Komuniti iaitu; Kolej Komuniti Tawau, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort, Penampang, Kota Marudu dan Tambunan serta dua (2) buah Kolej Komuniti baharu akan dibuka iaitu di Papar dan di Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Tourism Academy).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan pusat dan negeri komited untuk bekerjasama dan sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak dan harapan rakyat melalui pelbagai inisiatif dan strategi.

Shafie (tiga dari kanan) disaksikan Peter (kedua dari kanan), Jominin (kanan), Aidi (lima dari kiri), Dr. Mohammad (empat dari kiri), Tan Sri Pairin (tiga dari kiri), Ewon (dua dari kiri) dan Jumain (kiri) melakukan simbolik perasmian Kampus Kolej Komuniti Tambunan.

Shafie (tiga dari kanan) disaksikan Peter (kedua dari kanan), Jominin (kanan), Aidi (lima dari kiri), Dr. Mohammad (empat dari kiri), Tan Sri Pairin (tiga dari kiri), Ewon (dua dari kiri) dan Jumain (kiri) melakukan simbolik perasmian Kampus Kolej Komuniti Tambunan.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, 312 Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam 12 kementerian (Kerajaan Negeri) perlu dicapai. 

“Kesemua KPI ini merangkumi 10 buah bidang Keberhasilan Negeri, termasuklah Pelajaran, Inovasi serta Pembangunan Belia dan Sukan.

“Bagi merealisasikan pencapaian KPI dengan cemerlang dan jayanya, kerajaan negeri amat menyokong penuh inisiatif kerajaan pusat dalam memertabatkan TVET khususnya melalui institusi-institusi awam seperti Kolej Komuniti.

“Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi akan mengadakan usaha sama dengan Kolej Komuniti negeri Sabah khasnya dalam membangunkan Brain Bank atau modal akliah yang lebih holistik dan kompeten.

“Di era Revolusi Perindutrian 4.0 ini, Kolej Komuniti bukan lagi Pelan B atau mungkin pilihan terakhir para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia semata-mata, tetapi ia sebagai sebuah institusi yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan mempengaruhi ekonomi negara,”ujarnya. 

Katanya juga, Pemerkasaan TVET dapat melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di kalangan tenaga kerja tempatan yang mampu, seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat serta memenuhi kehendak industri dari pelbagai sektor seperti pertanian, kesihatan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau amat menyokong dan bersetuju dengan harapan serta aspirasi yang dikongsi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed semasa berucap merasmikan TVET Conference 2019, dengan tema Human Capital Development, To Enhance Future Skills Agenda pada 9 Julai yang lalu, yang mana Perdana Menteri menekankan betapa pemerkasaan TVET memberi kesan kepada pembangunan dan ekonomi negara.

Shafie memerhati cenderahati yang diberikan berupa saxophone yang diperbuat daripada Bambu (Buluh).

Shafie memerhati cenderahati yang diberikan berupa saxophone yang diperbuat daripada Bambu (Buluh).

“Sejajar dengan 11 matlamat Global Goals for Sustainable Development atau Pembangunan Lestari dan Mapan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), agenda pemerkasaan TVET dalam negara ini akan menjadi pemacu perubahan kepada usaha untuk melahirkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Justeru itu, peranan Kolej Komuniti selaku institusi TVET selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan dan membangunkan sumber tenaga manusia yang kompeten, berketrampilan dan memilik pelbagai kemahiran serta mewujudkan masyarakat yang berteraskan teknologi maklumat. 

“Ia bagi memastikan pasaran kerja di Sabah bakal dipenuhi oleh modal insan atau graduan-graduan yang mempunyai kemahiran yang diiktiraf oleh industri.

“Kerajaan amat komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tinggi bagi mengatasi masalah jurang tahap pendidikan masyarakat bandar dan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kampus Fasa I Kolej Komuniti Tambunan, baru-baru ini. 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Mohammad Naim Yakub, Kolej Komuniti Tambunan mula beroperasi pada tahun 2013 di bangunan sewaan di lokasi Tambunan Village Resort Center & Resort, Kampung Karanaan dengan menawarkan tiga program Sijil iaitu Sijil Pelancongan dan pengembaraan, Sijil Agroteknologi dan Sijil Servis Kenderaan Ringan.

“Setelah hampir lima tahun beroperasi di kampus lama, akhirnya projek Pembangunan Fasa I Kolej Komuniti yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke 10 serta pelaksanaan pembinaan, bermula pada Rancangan Malaysia Ke 11 dengan kos pembinaan RM19.08juta di atas tanah berkeluasan10 ekar.

“Kampus ini mempunyai enam buah unit bangunan yang mampu menampung seramai 200 orang pelajar.

Shafie (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rakan-rakan strategik Kolej Komuniti Tambunan.

Shafie (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rakan-rakan strategik Kolej Komuniti Tambunan.

“Kampus ini dilengkapi dengan bangunan kuliah atau makmal bagi program Sijil Agroteknologi, Sijil Pelancongan dan Pengembaraan serta Sijil Penyelenggaraan Kenderaan Pacuan Empat Roda dan kursus-kursus pendek di bawah Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat,”katanya. 

Tambah Mohammad Naim, Projek Pembangunan Fasa II bagi kampus baharu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan peruntukan sebanyak RM30 juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.

Kerjasama kolaborasi bersama-sama rakan industri dan ahli komuniti akan merealisasikan harapan dan aspirasi Kolej Komuniti dengan pelbagai strategi pemerkasaan TVET di negara ini.

Penglibatan industri semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran atau PdP melalui pendekatan Industry on Campus akan melahirkan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri sendiri. 

Ini akan meningkatkan kesediaan pelajar atau graduan untuk memasuki dunia pekerjaan setelah menamatkan pengajian.

ER

Tinggalkan komen anda