Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Kerajaan Perak Komited Bantu Nelayan Darat

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Asmah Mat Ali/Fandy Azlan (Ipoh)

IPOH, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk menaik taraf kehidupan rakyat berpendapatan rendah berada di landasan yang tepat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Insfratruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamhari, kerajaan berusaha membantu golongan itu antaranya nelayan darat yang dianggarkan seramai 1,200 orang di negeri ini dengan kebanyakan mereka tergolong dalam kumpulan B40.

“Salah satu langkah yang telah pun dijalankan bagi membantu mereka adalah dengan Program Pelepasan Benih Ikan di perairan umum yang mana pada setiap tahun sebanyak dua juta ekor anak ikan pelbagai jenis dilepaskan di sungai, tasik dan kolam bekas lombong bagi penambahan stok sedia ada untuk tangkapan golongan nelayan.

“Selain itu, seramai 467 orang nelayan darat telah mendapat manfaat daripada Program Titik Sentuhan yang melibatkan pembekalan jaket keselamatan, beg kalis air, dan tong insulasi bernilai hampir RM2000 kepada setiap penerima meliputi semua daerah seperti Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Hilir Perak,” ulasnya yang menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering Datuk Mohd Tarmizi Haji Idris dalam Persidangan Pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Dewan Negeri yang ke-14 Negeri Perak, pagi tadi.

Dalam memastikan pendapatan nelayan darat tidak hanya bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan sahaja, beberapa siri kursus untuk menghasilkan produk sampingan daripada industri perikanan turut dilaksanakan.

Abdul Yunus menambah, kursus pemprosesan produk perikanan seperti ikan pekasam dan bebola ikan telah diberikan kepada ahli keluarga nelayan darat bagi membolehkan mereka menjalankan ekonomi berasaskan produk perikanan bagi menambah pendapatan.

“Antara lain bantuan yang turut diberikan kepada golongan nelayan termasuklah Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), Skim Subsidi Diesel dan Petrol kepada Nelayan, Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dan Skim Bantuan Bencana Alam,” ujarnya.

-SH

 

Tinggalkan komen anda