Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kunak Berpotensi Sebagai Destinasi Eko Pelancongan

By 23 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KUNAK, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kawasan luar bandar termasuk daerah Kunak berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan luar bandar berasaskan eko pelancongan.

Bagaimanapun katanya masyarakat luar bandar tidak dapat mengusahakan kawasan itu kerana ada diantaranya terletak dalam hutan simpan, taman-taman Sabah atau bersempadan dengan tanah milik syarikat.

“Misalnya di Kunak, ada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pelancongan luar bandar tetapi berada dalam ladang milik syarikat.

“Dalam hal ini pemimpin daerah dan pemilik syarikat berkenaan iaitu Sime Darby harus mengadakan perbincangan bagi membolehkan aktiviti pelancongan luar bandar dapat dilaksanakan seperti di Kinabatangan yang mana Jabatan Perhutanan telah memberikan kebenaran kepada Koperasi Pelancongan Batu Puteh mengusahakan sebahagian kawasan itu sebagai tarikan pelancong yang kini menjana pendapatan koperasi dan penduduk di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kunak yang disampaikan oleh Pegawai Daerah, Juraimin Jadil di Pejabat Daerah Kunak, di sini, kelmarin.

Ewon mendengar taklimat pembangunan Daerah Kunak

Ewon mendengar taklimat pembangunan Daerah Kunak

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata selain Jabatan Perhutanan agensi lain yang turut memberi kebenaran kepada komuniti luar bandar mengusahakan sebahagian daripada kawasan mereka sebagai aktiviti pelancongan ialah Taman-Taman Sabah.

“Oleh itu saya berharap syarikat Sime Darby dapat mengikut langkah Jabatan Perhutanan dan Taman-Taman Sabah dengan membenarkan komuniti setempat bekerjasama membangunkan aktiviti pelancongan di sekitar ladang syarikat itu agar sumber kekayaan di Kunak dapat dinikmati bersama.

“Ini secara tidak langsung akan membantu membina imej baik kepada syarikat berkenaan.

“Saya akan maklumkan kepada Kabinet mengenai situasi ini supaya kerajaan negeri boleh berkomunikasi dengan syarikat berkenaan untuk memulakan perbincangan bagaimana ini boleh direalisasikan,” katanya.

Ewon berkata, kementeriannya mempunyai program baharu iaitu Program Pelancongan Luar Bandar dan sebagai permulaan tahun ini KPLB Sabah membangunkan dua kawasan Mini Estet Sejahtera (Mesej) sebagai pelancongan luar bandar iaitu Mesej Kaingaran Tambunan dan Mesej Kinolosodon Papar.

Mengenai lawatan itu, beliau berkata, ia bertujuan meninjau prestasi program-program di bawah KPLB Sabah terutamanya Mesej Sapang dan Mesej Pangi.

“Mesej Sapang dimulakan pada tahun 2012 dan tanaman sawit itu sudah boleh dituai, namun masih banyak kemudahan tambahan perlu kita wujudkan di sini,” katanya.

Katanya, selepas mendengar taklimat dan berkomunikasi sendiri dengan para peserta, terdapat dua cabaran utama dikenalpasti iaitu keperluan air di setiap rumah dan bas sekolah untuk anak-anak peserta Mesej Sapang.

“Dari segi penyediaan bekalan air ke rumah-rumah peserta Mesej, kita menjemput Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah untuk membuat kajian sama ada kawasan ini mempunyai sumber air bawah tanah yang boleh digunakan sebagai sumber air alternatif sementara kita menunggu peruntukan berkaitan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang kita telah kemukakan kepada KPLB Persekutuan.

“Selain itu peserta Mesej Sapang juga memerlukan bas sekolah untuk kemudahan anak-anak mereka pergi sekolah. Ini kerana jarak sekolah terdekat ialah 8 kilometer menyebabkan ramai anak-anak tidak dapat ke sekolah atas faktor jarak yang jauh dan ibu bapa tidak dapat menghantar mereka ke sekolah kerana ketiadaan kenderaan,” katanya.

Oleh itu katanya, beliau akan melihat sama ada baki perutukan Tabung Amanah Mesej itu masih mencukupi untuk tujuan pembelian sebuah bas sekolah seperti Mesej Keningau dan Nabawan.

Turut hadir dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal dan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan.

Tinggalkan komen anda