Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KK Sentral, Beri Keselesaan Penumpang, Tingkat Imej Bandaraya KK

By 23 Julai 2019Julai 27th, 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/ Roshidayah Idris/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali berkata, pembinaan Terminal KK Sentral merupakan antara komitmen kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Bandaraya Kota Kinabalu.

“Pembukaan operasi terminal bas di KK Sentral akan menceriakan Bandaraya Kota Kinabalu serta memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan bas di bandaraya ini.

Pembukaan KK Sentral mampu meningkatkan imej dan perkhidmatan bas ekspres menuju ke Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang dan Brunei yang sebelum ini beroperasi di terminal sementara Jalan Tugu.

“Ini adalah satu lagi usaha untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi KK Sentral, di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata,Terminal Bas KK Sentral yang dibina mulai 2011 dan siap sepenuhnya pada 2017, menelan kos sebanyak RM54 juta.

Arifin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Operasi KK Sentral

Arifin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Operasi KK Sentral

KK Sentral terdiri daripada dua blok bangunan komersil iaitu Blok A dan Blok B yang mempunyai kelengkapan penuh.

Blok A menyediakan kaunter informasi KK Sentral yang terletak di aras 1, pejabat pengurusan KK Sentral di aras 2 dan kaunter jualan tiket bas, jadual perjalanan bas serta kemudahan surau untuk lelaki dan wanita di aras 3.

Sementara Blok B di aras 1, bahagian A, mempunyai empat platform bas yang boleh menampung kemasukan 16 bas dalam satu-satu masa.

Aras 2 terdapat 114 lot gerai kraf tangan yang dijangka beroperasi pada 1 September 2019.

Aras 3 dan 4 menyediakan 499 lot tempat letak kereta, dan aras 9 ialah ruang pejabat serta galeri jualan untuk disewa.

Arifin turut menyeru agar warga kota khususnya pengguna dan semua peniaga dan operator yang menggunakan KK Sentral agar sentiasa mematuhi peraturan masa operasi yang ditetapkan dan menjaga kebersihan sepanjang berurusan di bangunan ini agar tidak menjejaskan imej bandaraya di mata pelancong.

Suasana balai menunggu berhawa dingin

Suasana balai menunggu berhawa dingin

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan, Kenny Chua Teck Ho; Ahli Parlimen P.173 Putatan, Awang Husaini Sahari; Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Tan Lee Fat; Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Loh Ee Eng @ Ronnie Eng serta Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Amirullah Kamal.

Salah seorang penumpang, Andrew Goduk, 32, yang menggunakan perkhidmatan Bas Ekspres Menumbok meluahkan penghargaan di atas komitmen kerajaan untuk menyediakan salah satu kemudahan awam yang selesa dan selamat.

“Pembukaan KK Sentral ini lebih memberi kebaikan kepada penumpang jika dibandingkan dengan terminal bas yang lama.

“Terminal sekarang lebih selesa dan selamat kerana terminal dahulu tidak mempunyai tempat berteduh dan penumpang yang datang awal perlu duduk menunggu di bawah pokok.

“Kini kalau penumpang datang awal pun tiada masalah sebab ada balai menunggu yang dilengkapi dengan penghawa dingin dan sekiranya ingin menjamu selera ada medan selera disediakan di bangunan ini ataupun di pusat membeli belah berhampiran,” katanya.

Pejabat dan kaunter jualan tiket bas.

Pejabat dan kaunter jualan tiket bas.

Ditanya mengenai perbezaan perjalanan menuju ke KK Sentral dan terminal lama, Andrew mengatakan tidak terdapat perbezaan di antara keduanya.

“Sekarang sudah ada Perkhidmatan Grab jadi tidak menjadi masalah untuk pergi ke mana-mana kerana pemandu Grab akan menghantar terus ke destinasi yang ditetapkan,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Andrew berharap agar masyarakat menggunakan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan dengan baik untuk kebaikan bersama.

Seorang kakitangan operator Sipitang Express, Rollina Wesley, 27, juga bersetuju bahawa KK Sentral memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.

“Keadaan di sini lebih baik dan selesa kerana ada tempat berteduh daripada hujan dan panas serta keselamatan lebih terjamin.

“Terminal bas yang berada dalam bangunan lebih menjamin keselamatan dari terminal lama yang berada di tepi jalan raya.

“Disebabkan KK Sentral baru memulakan operasinya beberapa hari yang lalu, terdapat sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki,” jelasnya.

Antara rungutan yang diterima daripada penumpang adalah berkaitan keadaan bangunan KK Sentral yang bertingkat.

“Ramai penumpang yang datang merungut kerana perlu menuruni tangga untuk ke platform bas selepas mendapatkan tiket.

Suasana di platform bas

Suasana di platform bas

“Lebih-lebih lagi, bagi penumpang yang mempunyai bagasi yang banyak dan warga tua di mana terdapat sedikit kesukaran untuk membawa bagasi mereka untuk menuruni tangga tersebut.

“Walaupun pihak kami ada menyediakan troli tetapi keadaan troli yang kecil tidak mampu menampung bagasi dengan jumlah yang banyak.

“Permasalahan mengenai kekurangan troli sudah diusulkan kepada pihak atasan dan hanya menunggu keputusan terhadap permasalahan ini,”ujarnya.

Menurutnya lagi, berbeza ketika berada di terminal lama, penumpang tidak perlu turun naik tangga untuk menuju ke bas.

“Disebabkan terminal dahulu bas berada di depan mata, jadi kami tidak perlu risau kerana penumpang memang boleh kenal pasti bas yang akan dinaiki.

“Berbeza dengan sekarang, disebabkan bas berada di platform aras bawah dan tidak kelihatan oleh penumpang, seorang petugas perlu menunjukkan ruangan menunggu dan seterusnya memaklumkan kepada penumpang sekiranya bas bersedia untuk bertolak,” tambahnya.

Orang ramai boleh mengetahui jadual ketibaan dan pelepasan bas menggunakan telefon pintar melalui imbasan QR Code

Orang ramai boleh mengetahui jadual ketibaan dan pelepasan bas menggunakan telefon pintar melalui imbasan QR Code

Walaupun ada pertambahan skop tugas iaitu bertugas menjadi penunjuk arah, Rollina mengatakan bahawa mereka tidak menghadapi isu kekurangan kakitangan sejak berpindah dari terminal lama.

Berkhidmat di Sipitang Express lebih 6 tahun, Rollina berpendapat pembukaan KK Sentral ini turut meningkatkan perkhidmatan dan ketepatan ketibaan bas syarikat beliau bertugas.

Sipitang Express mempunyai enam destinasi iaitu Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang dan Brunei.

Bermula dari 7.30 pagi, bas terakhir bergerak dari KK Sentral adalah pada 5.00 petang ke Sipitang dan tiket boleh didapati melalui kaunter jualan tiket bas atau melalui atas talian di Online Sipitang Express Bus Ticket dan easybook.com.

Selain Sipitang Express, turut beroperasi di KK Sentral adalah Menumbok Express yang hanya bergerak dari KK Sentral ke Menumbok dengan 6 perjalanan dalam sehari.

-ER

Tinggalkan komen anda