Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

LKIM Tok Bali Potensi Hub Industri Perikanan Negeri Kelantan

By 24 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan /Foto : Rosli Muhammad (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali Pasir Puteh merupakan pusat pendaratan ikan terbesar di Kelantan dengan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada nelayan seperti pusat pendataran, penyimpanan, pemprosesan, pemasaran dan bekalan input yang lengkap dan efisyen bagi menyokong pembangunan industri perikanan negara.

Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Kelantan Selatan merangkap Pengurus Pelabuhan LKIM Tok Bali, Pasir Puteh, Zainal Abidin Zakaria berkata pada masa akan datang pelabuhan ini akan berkembang maju seiring dengan pembangunan yang akan berlaku di sekitar kawasan Semerak.

Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali ini telah dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan melibatkan kos sebanyak RM99 juta.

“Pelabuhan ini terletak di kawasan Terusan Semerak, Pasir Puteh menjadi persinggahan utama yang aktif bagi kapal-kapal,” ujarnya lagi.

Objektif pembinaan Pelabuhan LKIM Tok Bali bertujuan meningkatkan dan menggalakkan aktiviti perikanan laut dalam Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutamanya Kelantan.

Di samping itu, ianya juga berpotensi membangun dan mengembangkan industri hiliran dan huluan setempat yang berasaskan perikanan, dengan menyediakan kemudahan asas pendaratan secara moden dan bersepadu serta sebagai daya tarikan bot-bot nelayan laut dalam dari selatan Thailand dan Vietnam.

Terdahulu pelaksanaan Pra Operasi Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali bermula pada 1 April 2011 dengan memberikan penumpuan kepada memujuk dan menggalakkan pendaratan semua kapal di kawasan Semerak ke pelabuhan ini.

Pelaksanaan tempoh Pra Operasi ini bagi mengenal pasti masalah dan kekangan seperti laluan kapal ke jeti pendaratan serta penyediaan peralatan dan mempertingkatkan segala kemudahan yang diperlukan oleh nelayan.

Orang ramai yang datang untuk membeli ikan bebas membuat pilihan ikan ikan yang dikehendaki

Orang ramai yang datang untuk membeli ikan bebas membuat pilihan ikan ikan yang dikehendaki

Bermula 1 Julai 2011 pihak LKIM telah mewajibkan semua bot kawasan Semerak perlu membuat pendaratan ikan di pelabuhan ini untuk melayakkan urusan pengisytiharan hasil tangkapan dan membolehkan mereka mendapat diesel bersubsidi.

Manakala pada 1 Oktober 2011 pihak LKIM mula melaksanakan Kutipan Caj Perkhidmatan seperti caj ikan yang dipindahkan, caj kenderaan masuk dan lain-lain caj yang dikenakan kepada pengguna Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali ini.

Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali ini telah memberi manfaat kepada 6,430 nelayan sekitar Tok Bali dengan bilangan bot sebanyak 772 buah.

Pelabuhan ini telah berjaya membuat pendaratan ikan sebanyak 37,342 tan matriks setahun atau 63 peratus dari jumlah pendaratan ikan Negeri Kelantan.

Kekerapan pendaratan bot di pelabuhan ini adalah sekitar 400 kali sebulan atau 10-15 buah bot sehari.

Manakala bilangan bot membuat pendaratan di pelabuhan ini adalah sekitar 276 buah dengan nilai hasil pendataran ikan melebihi RM14 juta setahun.

Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan bekalan ikan segar dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran dan runcit.

-NAZ

Tinggalkan komen anda